Poland sering terlepas beraksi di Piala Dunia. Walaupun mereka pernah menundukkan tiga juara pada tahun 1974 dan 1982, selebihnya hanya aksi yang tidak membanggakan, malah memalukan. Mengapa? Ia disebabkan dalam 21 edisi, Poland hanya menyertai lapan edisi termasuk 2018.
Cukup menghairankan sebenarnya apabila melihat kelibat pemain yang dimiliki, terutamanya dalam lima tahun terakhir. Selain Robert Lewandowski, Poland juga telah mempunyai dua orang penjaga gol yang hebat iaitu Łukasz Fabiański dan Wojciech Szczęsny serta dua bek kanan yang pernah beraksi bersama di Borussia Dortmund, Łukasz Piszczek dan Jakub Błaszczykowski.
Kelima-lima pemain itu masih tidak digantikan sehingga kini, terutamanya Lewandowski, Szczęsny, Błaszczykowski, dan Piszczek. Mereka akan menjadi pertaruhan utama buat pengendali, Adam Nawalka, untuk memberikan persembahan baik Poland, melepasi peringkat kumpulan dan melangkah sejauh mungkin selepas tidak tampil dalam dua edisi terakhir.
Jangkaan formasi
Berbekalkan seorang penggempur yang buas seperti Lewandowski di dalam Lewandowski, Nawalka akan menyusun pasukannya berdasarkan ketajaman penyerang Bayern Munich itu. Bahagian sayap akan dihadkan dengan pelari yang pantas untuk melakukan hantaran lintang serta barisan tengah yang mahir dalam mencipta lorongan.
Untuk permainan seperti itu, formasi 4-2-3-1 adalah sesuatu yang paling sesuai. Piszczek dan Błaszczykowski bertindak dari kanan, sambil di kiri terdapat Grosicki dan Bartosz Bereszyński, bek kiri Sampdoria. Untuk mengatur tempo permainan akan ada Piotr Zielinski dari Napoli sementara pemain tengah bertahan menjadi milik Grzegorz Krychowiak.
Dari bangku simpanan, Nawalka beruntung kerana memiliki dua penyerang yang bagus dalam pasukan. Jika terdesak memburu gol, Lewandowski boleh digandingkan dengan Arkadiusz Milik. Walaupun Milik masih belum kembali ke tahap sebenar selepas kecederaan panjang tetapi keadaan ketinggiannya (186 sentimeter) boleh diharapkan untuk merebut bola di udara.
Kekuatan
Tanpa diragui, Lewandowski adalah nyawa buat skuad Poland tetapi pasukan dengan nama jolokan Bialo-Czerwoni (Si Putih Merah) ini juga memiliki kekuatan tersembunyi di jentera tengah. Daripada lima pemain yang dibawa Nawalka, tiga daripadanya boleh bermain dalam posisi lain mengikut keperluan pasukan iaitu Krychowiak, Linetty, dan Zieliński.
To oni polecą do Rosji na #WorldCup! 🏆
Jak wrażenia po ogłoszeniu kadry? 🤔 #ArłamówLIVE pic.twitter.com/M7lPERYFTe— Łączy nas piłka (@LaczyNasPilka) June 4, 2018
Jika menggunakan 4-2-3-1, susunan pemain akan menjadi seperti dalam gambar jangkaan formasi. Sekiranya mempertaruhkan dua orang penyerang, Krychowiak akan digandingkan Zielinski atau Linetty dalam 4-4-2, atau meletakkan Zielinski bersama Linetty jika terdesak mendapatkan gol.
Kelemahan
Amat berbeza jika melihat barisan tengah serta depan jika dibandingkan dengan benteng pasukan Poland. Kesebelasan pasukan yang kali terakhir beraksi di Piala Dunia 2006 ini sangat rapuh di bahagian bawah, berdasarkan jumlah gol dibolosi ketika saingan kelayakan.
Dalam aksi kelayakan Piala Dunia Kumpulan E zon Eropah yang turut dibarisi oleh pasukan pertengahan seperti Denmark, Montenegro, Romania, Armenia dan Kazakhstan, Poland dibolosi 14 kali dalam 10 aksi. Jumlah itu hanya lebih baik berbanding Armenia dan Kazakhstan yang menduduki tangga dua terbawah dengan jumlah 26 gol.
Salah satu punca mereka dirobek adalah konsep menyerang dua bek sayap mereka sehingga kerap membuatkan bahagian bawah pincang. Selain itu, Kamil Glik juga bukan pemain bek tengah berkelas tinggi dan dia tidak mempunyai gandingan yang setaraf.
Walaupun diperkuatkan oleh Szczesny, ia tidak memberi sebarang makna ketika dia beraksi hebat seandainya pemain di depannya tidak menghalang serangan lawan dengan baik. Ia juga akan menjadi masalah besar kerana dalam aksi peringkat Kumpulan H Piala Dunia 2018 nanti, mereka akan berdepan penggempur yang buas seperti Sadio Mane (Senegal), Keisuke Honda (Jepun) serta Radamel Falcao dan James Rodriguez (Colombia).
Pemain utama: Robert Lewandowski
16 gol di peringkat kelayakan membuktikan ketajaman Lewandowski bersama Poland. Jumlah itu hanya mampu didekati oleh Christian Eriksen dalam fasa sama dengan lapan gol, separuh daripada jumlahnya. Jadi, perjalanan Poland di Russia nanti sudah pasti akan ditentukan oleh Lewandowski. Jika dia beraksi baik, maka keputusan baik boleh diraih pasukannya.
Peluang di Piala Dunia 2018
Berbekalkan senarai pemain yang dimiliki, Poland mungkin mampu melangkah ke pusingan kedua tetapi berpotensi untuk berdepan England atau Belanda di peringkat itu. Jadi, kemungkinan mereka akan sekadar mengulangi aksi edisi 1986 apabila meletakkan diri dalam kelompok 16 terbaik.