Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Korea Selatan di Piala Dunia 2018: Menepis anggapan sekadar pelengkap pertandingan

Kisah indah di Piala Dunia 2002, dimana Korea Selatan melangkah ke separuh akhir tampak adalah sesuatu yang sukar untuk diulangi. Dalam edisi Piala Dunia selepas itu, Daehan Minguk kembali ke prestasi lama, sekadar melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dan gagal melepasinya.

Bahkan, walaupun sudah dibarisi oleh pemain seperti Son Heung-min yang sering disebutkan sebagai pemain sehebat Park Ji-sung, Korea tetap tidak mampu ke pusingan kedua. Lebih perit, mereka melayakkan diri ke pentas Piala Dunia kali ini setelah melalui tempoh yang sukar sehingga pengurus, Uli Stielke, dipecat. Situasi di pusingan akhir juga tampak seperti tidak menyebelahi mereka kerana diundi bersama Jerman, Mexico dan Sweden.

Barisan pemain

Pengendali pasukan, Shin Tae-yong, hanya memanggil enam pemain yang berkelana di Eropah. Dia mengetepikan nama Ji Dong-won, Suk Hyun-jun serta Kwon Chang-hoon. Tae-yong dilihat lebih banyak memanggil khidmat pemain yang beraksi di saingan domestik Korea Selatan serta kelompok pemain yang mewakili kelab-kelab Asia. Pengendali itu juga memanggil pemain muda berbakat dari Hellas Verona, Lee Seung-woo.

Jangkaan formasi

Tae-yong yang memegang nama jolokan “Jose Mourinho Asia” akan mempertaruhkan 4-4-2 dengan bergantung harap kepada Ki Sung-yueng dan Koo Ja-cheol di bahagian tengah. Di barisan depan, Heung-min selaku bintang utama akan bergandingan dengan pemain dari Red Bull Salzburg, Hwang Hee-chan.

Kekuatan

Perkara yang menjadi teras utama kepada kekuatan Korea Selatan berbanding pasukan negara Asia laini adalah keazaman mereka. Ia pasti menjadi pertaruhan utama Korea untuk berdepan pasukan-pasukan besar di Piala Dunia. Lebih-lebih lagi, generasi pemain Korea ketika ini memiliki kebolehan dan teknik yang mengujakan.

Kelemahan

Posisi penjaga gol Korea Selatan tidak begitu bagus selama beberapa tahun. Jika dulu mereka memiliki Lee Woon-jae, sebelum disambung oleh era Jung Sung-ryong, kini rata-rata peminat bola sepak Korea Selatan mempersoalkan kemampuan pemain terkini, Kim Seung-gyu. Dia dianggap tidak berada setaraf dengan Woon-jae dan Sung-ryong serta sering melakukan kesilapan mudah di pentas antarabangsa.

Pemain utama: Ki Sung-yueng

Heung-min semestinya diakui sebagai pemain bintang dalam skuad Korea Selatan sambil Lee Seung-woo selaku pemain muda yang amat berbakat. Bagaimanapun, kunci utama buat mereka sebenarnya terletak dalam diri kapten, Sung-yueng. Dia merupakan penggerak bola, pelancar serangan sehingga menjadi watak utama dalam permainan. Kelibatnya tampak lebih senyap dan tidak menyinar seperti Heung-min tetapi dia adalah pemimpin yang dihormati rakan sepasukan.

Peluang di Piala Dunia

Secara realiti, agak bernasib baik sekiranya Korea Selatan tidak menjadi pasukan belasahan dalam saingan Kumpulan F apabila melihat pesaing lain dalam kumpulan maut itu. Peluang mereka ternyata amat sukar. Berbanding memaksa kudrat di Piala Dunia, Korea seharusnya lebih tenang dan meletakkan fokus untuk meraih pingat emas Sukan Asia 2018 di Indonesia nanti.