Luar Negara Eropah

EA Sports perkenal pilihan Liga Juara-Juara di FIFA 19

Peminat bolasepak biasanya bukan sekadar suka menonton bolasepak. Ada juga yang suka bermain bolasepak di padang dan ramai juga sebenarnya suka bermain bolasepak menerusi permainan video. Dua permainan video bertemakan bolasepak yang cukup dominan adalah FIFA dan Pro Evolution Soccer (PES).

Setelah sekian lama menunggu, mungkin inilah masa yang dinanti-nanti oleh penggemar FIFA dan mungkin memberikan lebih banyak kelebihan berbanding PES.

Setelah memperkenal versi World Cup untuk FIFA 18 sempena Piala Dunia, versi terbaru mereka pastinya akan lebih memberikan keterujaan kepada peminatnya.

Dalam pengumuman di EA live, pihak EA telah mengumumkan bahawa FIFA 19 nanti akan mempunyai pilihan Liga Juara-Juara! Setelah sekian lama hak cipta Liga Juara-Juara dimiliki oleh PES, kini peminat FIFA akhirnya dapat merasa mengawal pasukan kegemaran mereka untuk menjuarai Liga Juara-Juara.

Selain itu, EA juga mengumumkan bintang Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo serta bintang Brazil dan PSG, Neymar, sebagai penghias muka depan FIFA 19.

FIFA 19 akan mula dijual pada penghujung September dengan peminat yang membuat tempahan awal akan dapat mencubanya tiga hari lebih awal berbanding orang lain.

Bagaimana? Sudahkah anda bersedia membawa pasukan seperti Schalke, CSKA Moscow atau Legia Warsaw menjuarai Liga Juara-Juara musim hadapan?