Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Switzerland di Piala Dunia 2018: Misi Schweizer Nati mengubah status ‘underdog’

Selama dua dekad terakhir, perkembangan bola sepak Switzerland cukup pesat berbanding sebelumnya. Di peringkat kelab, walaupun sering hanya Basel yang kelihatan, mereka sudah mampu mempamerkan kualiti mereka. Begitu juga di peringkat antarabangsa, apabila Schweizer Nati menjadi salah satu pasukan wajib Eropah walaupun tidak pernah meraih kejayaan.

Namun, itulah masalah sebenar. Hingga saat ini, Switzerland hanya mampu menjadi pasukan bukan pilihan yang menyukarkan laluan pasukan lain dan sering tersingkir awal. Prestasi terbaik mereka dalam dua dekad terakhir juga Cuma pusingan kedua, tidak kira Piala Dunia atau Piala Eropah. Situasi ini sedang cuba diubah oleh pasukan bimbingan Vladimir Petkovic.

Berbeza dengan sebelum ini, kali ini hampir semua pemain Switzerland berkelana di liga besar Eropah. Saingan kompetitif yang lebih tinggi pasti akan memberikan kualiti tambahan kepada skuad Switzerland. Saat Piala Dunia sudah dimulakan di Russia, mereka pasti akan berusaha agar nasib mereka berbeza berbanding sebelum ini.

Barisan pemain

Petkovic selaku pengurus baru Switzerland sudah mengumumkan barisan 23 orang pemain untuk ke Russia pada 4 Jun. Hampir tiada kejutan yang berlaku kecuali ketiadaan dua orang pemain senior, Admir Mehmedi dan Eren Derdiyok, serta kehadiran dua penjaga gol muda yang tidak pernah melakukan penampilan, Gregol Kobel dan Yvon Mvogo. Selebihnya, semua pemain yang dipilih Petkovic telah tampil ketika saingan kelayakan Piala Dunia atau aksi persahabatan.

Kekuatan

Barisan tengah menjadi teras utama kekuatan Switzerland. Walaupun tanpa Mehmedi yang masih belum pulih daripada kecederaan ligament, namun masih ada nama lain seperti Granit Zhaka (walaupun baru menerima kecederaan lutut ketika latihan), Xherdan Shaqiri, serta dua pemain veteran iaitu Blerim Dzemaili dan Valon Behrami.

Jangan lupa juga dengan nama-nama baru seperti Remo Freuler (Atalanta), Steven Zuber (Hoffenheim) dan Denis Zakaria (Borussia Monchengladbach) yang sedang tampil hebat bersama pasukan kelab masing-masing pada musim lalu. Ketika peringkat kelayakan, barisan tengah yang banyak menyumbangkan gol. Situasi ini menjadi bukti bahawa kualiti Switzerland harus digeruni oleh lawan mereka di peringkat kumpulan.

Kelemahan

Switzerland kurang menerima tekanan ketika aksi kelayakan. Hanya Portugal yang menjadi lawan paling sukar buat mereka. Ketika aksi play-off, mereka hanya perlu berdepan Ireland Utara, sekaligus membuatkan kebolehan mereka kurang teruji. Berbanding tiga lain dalam Kumpulan E, laluan Switzerland ke Russia dianggap paling mudah.

Persoalan lain adalah barisan depan. Seperti yang dikatakan, barisan tengah yang menjadi penyumbang utama kepada jaringan mereka ketika kelayakan. Malangnya, Petkovic tidak memiliki banyak pilihan di bahagian depan kerana terlalu bergantung kepada Haris Seferovic sebagai penyerang tunggal.

Dia sering dturunkan dalam 15 aksi terakhir Switzerland tetapi hanya menyumbat empat gol dan kesemuanya ketika bertemu Latvia, Andorra (dua gol), serta Hungary. Jadi, wujud persoalan sejauh manakah kemampuannya apabila berdepan pasukan yang lebih sukar di Russia. Petkovic harus menemui cara untuk menanganinya, meminimumkan supersub yang sering digunakan ketika bahagian tengah juga kebuntuan gol.

Pemain utama: Granit Xhaka

Tampil sebanyak 14 kali dalam 15 perlawanan terakhir Schweizer Nati, sudah tentu ia menjadi bukti betapa pentingnya Xhaka buat Switzerland. Kemampuannya menyekat serangan lawan dan mencipta banyak peluang menjadi alasan buat Petkovic sering mempercayainya. Selain itu, dia juga boleh diharap untuk mencipta gol.

Mungkin gaya permainannya sedikit kasar ketika bertahan tetapi apa yang hebat adalah dia tidak pernah melanggar disiplin pada musim lalu. Bahkan, dalam setiap aksi yang dipamerkan bersama Arsenal di Liga Perdana Inggeris, ia berbeza dengan musim pertamanya. Perubahan sikapnya itu memberi keuntungan buat pasukan dan dirinya sendiri. Namun, dia baru sahaja menerima kecederaan lutut ketika latihan dan berkemungkinan terpaksa melupakan saingan di Russia tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang pengesahan rasmi.

Jangkaan formasi

4-2-3-1 menjadi pertaruhan Petkovic ketika kelayakan dan mungkin akan kekal digunakan di Piala Dunia nanti. Yann Sommer akan menjadi penjaga gol utama sambil Fabian Schar akan mengisi posisi bek tengah bersama Johan Djourou atau pemain muda berbakat Borussia Dortmund, Manuel Akanji. Posisi bek sayap kemungkinan besar akan digalas oleh Ricardo Rodriguez di sebelah kiri dan Stephan Lichtsteiner di bahagian kanan.

Barisan tengah memberikan banyak pilihan, namun sekiranya Xhaka dapat beraksi, dia akan digandingkan bersama Behrami. Jika Behrami direhatkan, Freuler atau Zakaria akan menggantikannya.

Ketiadaan Mehmedi juga membuatkan Zuber menjadi pilihan utama di sayap kiri tatkala sayap kanan menjadi milik Shaqiri. Mereka berdua akan mengapit Dzemaili selaku pemain tengah menyerang dan jika dia direhatkan, Shaqiri akan mengambil tempatnya sambil Breel Embolo menduduki sayap kanan dan posisi penyerang tunggal hampir pasti milik Seferovic.

Peluang di Piala Dunia

Harus diakui, langkah Switzerland untuk ke pusingan kedua cukup cerah walaupun tanpa sebarang harapan. Ini disebabkan mereka berdepan pasukan pilihan, Brazil, dalam aksi pertama.

Sedar kemenangan amat sukar diraih, mereka pasti akan meraih moral yang tinggi jika dapat mencuri mata dan lebih bersedia untuk menentang dua lagi pasukan. Segala perancangan Schweizer Nati akan terarah kepada aksi pertama yang bakal berlangsung pada 17 Jun di Rostov Arena.