Eropah Malaysia

NFDP dalam proses menilai tawaran pemain

Prestasi cemerlang pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 tahun (B-14) pada kejohanan di Jerman dan Belanda menyebabkan kebanyakannya menjadi buruan akademi-akademi terkemuka Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, pihaknya menerima banyak permintaan daripada kelab ternama di Eropah yang mahukan pemain-pemain NFDP menjalani latihan bersama mereka.

“Kebanyakan maklum balas yang kami terima dari pihak pemantau bakat dan juga penganjur di Eropah adalah mereka menyatakan pelatih AMD sememangnya berada dalam kelas yang tersendiri.

“Ini bermakna sekiranya pelatih kita menjadi warganegara Kesatuan Eropah (EU), mereka semuanya akan mendapat tempat dalam akademi utama di Eropah.

“Kini kita sedang dalam proses menilai setiap tawaran dan menyelaraskan komitmen pembelajaran dengan pihak sekolah. Ia sesuatu yang agak rumit tetapi wajib dilakukan dan kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada Berita Harian.

Beberapa akademi yang dikatakan menunjukkan minat yang serius antaranya adalah Manchester United, Manchester City dan juga Paris Saint Germain (PSG).

Selepas menjuarai kejohanan Whitsun B-14 di Dortmund, Jerman minggu lalu, skuad AMD B-14 sekali lagi menjuarai Kejohanan B-14 Vogido di Enschede, Belanda yang berakhir baru-baru ini.

Apa yang lebih membanggakan, pasukan kendalian Osmera Omaro itu juga mencipta sejarah apabila muncul pasukan pertama dari Asia menjuarai kejohanan yang turut disertai FC Basel, Bayer Leverkusen, KRC Genk dan Vitesse.

Pada perlawanan akhir kejohanan, AMD B-14 meraih kemenangan 1-0 menerusi jaringan tunggal Mohd. Khairil menundukkan kelab Belgium, KRC Genk yang pernah melahirkan pemain bola sepak ternama seperti Kevin de Bruyne, Thibaut Courtois dan Christian Benteke.

Malah, penjaga gol AMD, Zulhilmi Sharani dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik manakala Muhd. Nabil Qayyum dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.