Santai Piala Dunia 2018

Senarai pemain yang dibenci sesebuah negara kerana bola sepak

Dibenci oleh penyokong lawan, itu perkara biasa. Namun, jika dibenci oleh peminat sendiri, ia bukan sesuatu yang mustahil tetapi bagaimana jika seorang pemain dibenci oleh seluruh negara? Berikut adalah beberapa pemain yang dibenci oleh sebuah negara kerana aksi mereka di atas padang.

Luis Suarez

Bekas pemain Liverpool ini dengan sengaja menahan bola tandukan Dominic Adiyiah menggunakan tangan untuk menggagalkan gol kemenangan Ghana. Asamaoah Gyan yang mengambil sepakan penalti itu gagal menyempurnakannya, membuatkan Suarez yang berada di lorong pemain sangat gembira. Ghana tewas menerusi penentuan penalti dan Uruguay melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2010.

Harald Schumacher

Schumacher ditujuh sengaja menjatuhkan dirinya ke arah bek Perancis, Patrick Battuston, ketika separuh akhir Piala Dunia 1982. Tindakan itu membuatkan Battiston pengsan dan koma. Dia kehilangan banyak gigi dan patang rusuknya patah. Akibat insiden ngeri itu, Schumacher menjadi orang paling dibenci Perancis, mengatasi Adolf Hitler dalam satu bancian tempatan.

Thierry Henry

Henry melukakan hati peminat Republik Ireland ketika legenda Arsenal itu menggagalkan impian mereka untuk ke Piala Dunia 2010 menggunakan tangan. Henry membantu jaringan yang membawa kepada kemenangan Perancis, namun sebelum melakukan hantaran, dia menahan dan mengawal bola dengan tangannya.

Diego Maradona

Siapa yang tidak tahu akan Gol Tangan Tuhan daripada Maradona? Bekas kapten Argentina itu melakukan jaringan bersejarah tersebut ketika Piala Dunia 1986 sewaktu bertemu England sehingga mencetuskan perdebatan antara pengadil dan penjaga garisan. Gol kontroversi itu membuatkan wujud perseteruan antara dua negara itu dan Peter Shilton yang menjaga gawang England pada waktu itu masih menyimpan dendam dan tidak akan mahu berjabat tangan dengan legenda itu.

Marco Materazzi

Zinedine Zidane, bekas kapten Perancis, mengaku lebih baik mati daripada meminta maaf kepada Materazzi selepas insiden menanduk dadanya. Perancis bertemu Itali di final Piala Dunia 2006 dan Les Blues melalui penentuan sepakan penalti tanpa Zidane yang telah dilayangkan kad merah.

Fabio Grosso

Seorang lagi pemain Itali yang dibenci oleh sesebuah negara. Grosso dilihat melakukan aksi lakonan ketika berdepan Australia dalam pusingan kedua Piala Dunia 2006. Penalti yang disempurnakan Francesco Totti itu telah menyebabkan The Socceroos pulang awal. Grosso juga mengakui dia melebih-lebihkan aksinya ketika jatuh dalam kotak penalti.

Sergio Ramos

Paling terbaru dan hangat. Ramos menjadi bualan penduduk Mesir kerana dituduh sengaja mencederakan pemain utama mereka, Mohamed Salah, ketika final Liga Juara-Juara Eropah 2018. Atu petisyen diwujudkan untuk FIFA dan UEFA bagi menghukum Ramos atas perbuatan tersebut. Sehingga kini, sudah lebih 500 ribu orang yang menandatangani petisyen itu dan kemungkinan akan terus bertambah.