Malaysia Liga Super Malaysia

Setahun tidak beraksi kerana sakit paru-paru, Sharbinee kembali ke padang

Penjaga gawang Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee Ramli tekad untuk kembali beraksi dalam Liga Super selepas setahun berhenti akibat masalah paru-paru.

Katanya, walaupun beliau mendatangani kontrak bersama City Boys sehingga hujung musim ini, beliau perlu bekerja keras untuk membuktikan kemampuannya.

“Pengalaman adalah aset saya dan saya yakin ia sangat berguna walaupun sudah setahun tidak beraksi. Cuma, mungkin saya memerlukan beberapa perlawanan untuk mendapatkan semula sentuhan.

“Saya anggap ia bukan masalah besar kerana bagi setiap pemain, sebaik sahaja melangkah ke padang, dengan sendiri aura perlawanan akan membantu walaupun sudah lama tidak bermain.

“Saya akan gunakan tempoh enam bulan ini sebaik mungkin kerana ia bakal menentukan masa depan saya,” katanya kepada Berita Harian.

Kehadiran Sharbinee sebagai penjaga gol paling berpengalaman dalam pasukan Kuala Lumpur menjadi satu kelebihan buat dirinya setelah beraksi bersama Terengganu dan Selangor serta pasukan kebangsaan dan diharap menjadi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi jurulatih, Fabio Maciel dengan aksi tidak konsisten tiga penjaga golnya sebelum ini.

Kuala Lumpur adalah pasukan paling banyak dibolosi dengan 27 gol daripada 12 perlawanan Liga Super setakat ini meskipun menggunakan tiga penjaga gol berbeza iaitu Kamarul Effandi Abdul Rahim, Ahmad Solehin Mamat dan Khatul Annuar Jalil yang nyata belum bersedia menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama.

Malah, skuad warga kota itu mudah dibelasah 4-0 oleh Pahang baru-baru ini menyebabkan pasukan itu jatuh di tangga kelapan liga dengan 13 mata, hanya dipisahkan lima mata dengan pasukan tangga tercorot, Negeri Sembilan.