Malaysia Liga Super Malaysia

Jaringkan gol guna ‘Hand of God’, ini reaksi Amri Yahyah

Kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaringkan gol termasuklah menggunakan tangan bagi mengubah keputusan perlawanan menentang Kedah baru-baru ini.

Katanya, dalam apa jua situasi, usaha untuk mengubah kedudukan yang tidak memihak kepada pasukan adalah keutamaannya.

Itulah yang berlaku pada minit ke-79 sewaktu Selangor ketinggalan 2-1, namun jaringan itu dibatalkan oleh pengadil perlawanan.

Jaringan menggunakan tangan yang dibatalkan pengadil, Fitri Maskon, turut menyaksikan Amri dilayangkan kad kuning.

“Bila pakai tangan nasiblah. Orang lain pun pakai tangan juga. Tetapi apa-apa sahaja boleh berlaku.

“Mungkin, kalau pengadil leka, lagipun perkara ini pernah berlaku. Saya hanya cuba sedaya-upaya untuk menjaringkan gol tetapi itu yang berlaku,” katanya kepada Astro Arena.

Dalam pada itu, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan rakan sepasukan serta para pemain Selangor terutamanya apabila memperoleh kemenangan pada bulan Ramadan.

“Bermain di bulan yang berkat ini, ia boleh dikatakan menguji kecergasan pemain. Saya memuji semua pemain pasukan Kedah dan Selangor kerana bermain dengan cemerlang pada malam ini,” katanya lagi.

Selangor kini menduduki tangga ke-9 dengan 11 mata namun kurang satu perlawanan jika dibandingkan dengan Melaka yang juga mengumpulkan 11 mata di tangga ke-10.

Kedah pula berkongsi mata di tangga ke-5 iaitu 21 mata dengan Pahang dan Terengganu yang hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Selangor akan melayani kunjungan Kelantan, Jumaat ini manakala Kedah akan bertemu Melaka di Stadium Darul Aman.