Malaysia Liga Super Malaysia

Jangan salahkan Fajr Ibrahim, kata Presiden KAFA Bibi Ramjani

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan tidak mahu penyokong menyalahkan ketua jurulatih, Fajr Ibrahim di atas prestasi buruk pasukan itu.

Katanya, prestasi Kelantan yang semakin merudum sebenarnya disebabkan beberapa faktor termasuklah ketiadaan padang yang sempurna untuk mengadakan sesi latihan bersama pemain.

“Saya tak salahkan jurulatih. Sekarang pemain tak dapat berlatih dengan baik kerana keadaan padang di Ketereh amat teruk.

“Fajr juga tak dapat gunakan sepenuhnya ruang yang ada kerana bimbang pemain akan bergelut dengan kecederaan susulan keadaan padang yang teruk,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Bibi, pasukan The Red Warriors tidak lagi menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammad IV kerana kerajaan negeri Kelantan tidak membenarkan penggunaan stadium itu sepanjang bulan Ramadan.

“Saya dimaklumkan stadium tidak boleh digunakan untuk latihan dan perlawanan sebenar bagi menghormati bulan Ramadan selain terdapat aktiviti sekitar stadium,” katanya.

Justeru, Bibi pernah memohon untuk menggunakan beberapa padang seperti padang Perdana tetapi tidak dibenarkan meskipun berbayar kerana rekod bayaran persatuan itu yang lemah.

“Apabila Kafa nak guna mana-mana padang padang, hutang Kafa banyak jadi orang jadi takut kerana tunggakan sebelum ini masih belum diselesaikan.

“Rekod pengurusan sebelum ini banyak menyebabkan orang hilang kepercayaan terhadap Kafa. Sebagai contoh, saya berdepan dengan kes mahkamah kerana tunggakan bayaran padang Universiti Sains Malaysia (USM) oleh pengurusan lama,” katanya.

Pada masa yang sama, Bibi turut mengakui kekurangan pemain import berkualiti turut mempengaruhi prestasi hambar pasukan itu ketika ini.

“Kami perlukan sekurang-kurangnya dua lagi pemain import memandangkan Cassio sedang bergelut dengan kecederaan.

“Kami akan memohon pelepasan sekatan perpindahan pemain kedua daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi menggantikan Mohammed Ghaddar yang ditamatkan kontraknya atas persetujuan bersama,” katanya.

Di samping itu, Bibi berpendapat tekanan penyokong terhadap pemain muda sedikit sebanyak menjejaskan semangat pasukan.

“Mereka budak-budak, biasalah kalau kena marah dengan penyokong mereka takut. Mereka tak biasa lagi, mereka kena ambil sedikit masa untuk sesuaikan diri.

“Jadi saya minta agar barisan pemain muda jangan putus asa dengan tekanan penyokong dan teruskan bermain,” katanya.