Piala Dunia 2018 Berita

Profil Arab Saudi di Piala Dunia 2018: Misi menghapuskan label ‘pasukan belasahan’

Melalui satu perjuangan luar biasa ketika aksi kelayakan pusingan ketiga zon Asia, skuad kebangsaan Arab Saudi akhirnya mengesahkan satu tiket automatik ke pentas Piala Dunia 2018 selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua, dibelakang Jepun.

Kejayaan ke Russia bererti Arab Saudi menamatkan penantian ke Piala Dunia dalam dua edisi sebelum ini iaitu pada 2010 dan 2014. Kali terakhir The Green Falcons beraksi di Piala Dunia adalah pada tahun 2006.

Rasa gembira yang menyelubungi Persatuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) tidak mampu membuatkan mereka lalai dalam memperkuatkan pasukan. Banyak usaha dilakukan, termasuk jelajah ke Portugal dan Sepanyol dalam tempoh November 2017 sehingga Mei 2018, dimana Osama Hawsawi dan rakan-rakannya menguji kemampuan.

Dalam 14 aksi terakhir termasuk saingan Piala Teluk yang disertai, Arab Saudi hanya mencatat enam kemenangan, dua seri dan tujuh kali ditundukkan. Walaupun kurang memuaskan, Pizzi tetap yakin bahawa The Free Falcons dapat beraksi baik di negara Beruang Merah, terutamanya dalam usaha menghapuskan status pasukan belasahan yang dipegang setiap kali beraksi di pentasa antarabangsa.

Bayangan skuad

Sehingga penulisan ini disiapkan, Pizzi masih belum mengumumkan 23 orang pemain yang akan dibariskan di Piala Dunia 2018. Berdasarkan kenyataan menerusi laman Twitter rasmi mereka, Arab Saudi masih lagi terdiri daripada 28 orang pemain yang mengharungi aksi ujian berdepan Itali, Peru dan Jerman pada hujung Mei sehingga Jun.

Apa yang menarik, nama-nama tersebut didominasi oleh pemain yang beraksi di saingan tempatan. Cuma ada tiga orang pemain yang beraksi di luar iaitu Salem Al-Dawsari (Villareal), Fahad Al-Muwallad (Levante) dan Yahya Al-Shehri (Leganes), walaupun status mereka hanyalah pemain yang dipinjamkan ke pasukan-pasukan Sepanyol.

Tiga perlawanan pemanas badan yang bakal dilalui The Green Falcons tampak bakal menjadi medan pemilihan untuk memilih pemain yang dibawa Pizzi ke Piala Dunia 2018.

Kekuatan

Sepanjang aksi kelayakan, Hawsawi dan rakan sepasukannya menjadi antara pasukan yang menjaringkan gol terbanyak dengan jumlah 17 jaringan, berkongsi jumlah itu dengan Jepun. Situasi itu dapat menerangkan bahawa barisan depan The Green Falcons sangat tajam.

Sekiranya keadaan sama dapat dijelmakan di Piala Dunia 2018, mereka sudah pasti merbahaya buat pesaing lain, khususnya lawan dalam Kumpulan A iaitu Mesir, Russia dan Uruguay. Lebih-lebih lagi, tonggak utama penggempur The Green Falcons seperti Nawaf Al-Abed dan Mohammad Al-Sahlawi terkenal dengan kepantasannya.

Kelemahan

Walaupun memiliki barisan depan yang mantap, sekurang-kurangnya ketika aksi kelayakan dan pemanas badan, bahagian benteng Arab Saudi tampak mudah ditembusi. Berdasarkan statistik dalam 14 perlawanan terakhir, mereka dibolosi sebanyak 21 kali, sekaligus menjadi satu rekod yang buruk.

Ia kelihatan lebih bahaya apabila memikirkan barisan depan lawan dalam peringkat kumpulan memiliki jentera serangan yang mantap. Jika Pizzi tidak menemui ramuan untuk memperkukuhkan benteng, Arab Saudi tidak mustahil akan mengharungi kempen Piala Dunia 2018 dengan dikendurikan gol.

Pemain utama

Kelibat Osama Hawsawi boleh dianggap veteran pada usia 34 tahun. Namun, tenaga pemain yang mewakili Al-Hilal itu masih diperlukan The Green Falcons, khususnya dalam menyokong barisan bawah yang dikepalai oleh Omar Hawsawi.

Ketenangan, pengalaman dan visi permainan yang berguna diperlukan, terutamanya untuk berdepan lawan di peringkat kumpulan seperti Edinson Cavani dan Luis Suarez (Uruguay), Artem Dzyuba dan Fedor Smolov (Russia) serta Marwan Mohsen/Mohamed Salah (Mesir).

Sebagai kapten The Green Falcons, semestinya Hawsawi akan memimpin rakan sepasukan untuk berjuang sehoingga ke saat terakhir bagi meraih keputusan yang baik.

Jangkaan formasi

Berdasarkan aksi pemanas badan yang dilalui Arab Saudi, pertaruhan Pizzi tampak tidak banyak berbeza dengan formasi 4-2-3-1 dimana serangan bahagian sayap menjadi senjata utama.

Yasser Al Mosailem bakal meraih kepercayaan Pizzi untuk mengisi posisi penjaga gol menggunakan pengalaman yang dimilki. Di depannya pemain berusia 34 tahun itu terdapat gandingan Hawsawi serta Yasser Al-Shahrani dan Mansoor Al-Harbi sebagai fullback.

Sementara dua pemain tengah bertahan akan dijana oleh Salman Al-Faraj dan Abdullah Otayf. Tiga pemain yang berada di depan mereka dan membantu Al-Sahlawi selaku penyerang tunggal adalah Tisir Al-Jassim, Al-Muwallad dan Al-Shehri.

Peluang di Piala Dunia 2018

Apabila dibandingkan dengan tiga lagi pasukan dalam Kumpulan A, kekuatan Arab Saudi jelas paling lemah. Oleh itu, mereka perlu bersedia melakukan kejutan, seperti mendapatkan keputusan seri atau mungkin cuba mengejutkan tuan rumah, Russia, dengan kemenangan dalam aksi pembukaan.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, peluang The Green Falcons untuk mara ke pusingan seterusnya agak sukar. Mereka memerlukan usaha keras dan keajaiban untuk merealisasikannya. Kejayaan tidak menjadi mangsa kenduri gol sahaja sudah menjadi perkara yang hebat buat The Green Falcons.