Malaysia Liga Super Malaysia

Bekas bintang Harimau Muda, Syahrul Azwari sah sertai Melaka United

Ketua jurulatih Melaka United, E. Elavarasan mengesahkan bahawa Syahrul Azwari Ibrahim menjadi pemain kedua yang menyertai pasukan itu selepas Khairul Fahmi Che Mat dalam jendela perpindahan kedua musim ini.

Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini beraksi untuk pasukan JDTII dalam saingan Liga Perdana.

Katanya, bekas pemain Kelantan itu sudah cukup bersedia untuk turun beraksi dengan pasukan baharunya.

“Dia baru sampai. Sudah tentu dia seorang pemain yang baik bagi kami. Dalam seminggu dua, ini kami rasa dia boleh mula bermain,” katanya kepada Astro Arena.

Melaka dijangka akan membawa masuk beberapa pemain baharu terutamanya selepas pasukan itu melantik Adly Zahari selaku presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United yang baharu.

Pelantikan itu penting buat Melaka yang ketika ini berada di tangga ke-10 ketika ini dengan mengumpul 11 mata, hanya tiga mata di hadapan Kelantan yang berada dalam zon penyingkiran di tempat ke-11 bersama-sama Negeri Sembilan di kedudukan tercorot liga.

Adly sendiri mahu membantu pasukannya memperoleh lebih banyak dana dan akan memberikan sokongan sebaik yang mungkin.

“Dari segi bajet memang kita akan berusaha untuk mencari banyak penajaan untuk pasukan ini dan saya yakin potensi Melaka United bergantung kepada bajet yang kita usahakan.

“Namun sekiranya mahu melangkah lebih jauh memang kita kena berusaha untuk mendapatkan bajet lebih baik. Saya akan menggunakan sepenuh kemampuan untuk menyokong usaha ini,” katanya kepada Kosmo!