Eropah Malaysia

Tiga pemain NFDP dilamar PSG, bakal beraksi dalam satu kejohanan di Rome

Tiga pemain Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) disahkan menerima jemputan untuk beraksi dalam kejohanan Bawah 13 tahun (B-13) bersama juara Liga Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), bulan depan.

Tiga pemain tersebut adalah Hazriq Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon.

Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi InstaStory beliau.

Berdasarkan surat itu, ketiga-tiga mereka akan beraksi bersama pasukan PSG B-13 dalam satu kejohanan di Rome, Itali pada 21 hingga 24 Jun depan.

Menerusi surat itu juga, Pengarah Akademi PSG, Jean-Francois Pien berkata kos penerbangan ketiga-tiga pemain itu akan ditanggung oleh NFDP.

“Teruja untuk menerima persetujuan daripada anda,” demikian menurut surat jemputan itu.

Khairy turut meluahkan rasa bangga di atas berita gembira tersebut.

“Tiga pemain NFDP dijemput untuk beraksi bersama PSG. Amat bangga dengan mereka,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar mengesahkan tiga kelab gergasi Eropah berminat untuk mendapatkan lima pemain yang berlatih di bawah program NFDP.

Antara kelab gergasi Eropah yang berminat adalah Manchester City, Manchester United dan PSG malah terdapat tawaran daripada kelab yang bersaing di La Liga.

Dalam kejohanan bulan lalu juga, dua pemain yang dipilih PSG iaitu Rohisham Haiqal telah menerima Anugerah Pemain Terbaik manakala Hazriq Haqqim meraih Anugerah Penjaga Gol Terbaik.