Berita Asia Tenggara

Pemain kelab Belanda impi sarung jersi Indonesia di Piala AFF

Nampaknya seorang lagi pemain berdarah kacukan berminat untuk menyarung jersi Indonesia.

Pemain bek kiri De Graafschap, Jordy Tutuarima menyatakan keinginannya untuk menyarung jersi kebangsaan Indonesia dan beraksi di Piala AFF Suzuki hujung tahun ini.

Jordy mempunyai darah Indonesia kerana mempunyai datuk yang berasal dari Maluku.

“Saya belum mendengar apa-apa berita mengenai naturalisasi. Saya berharap mereka dapat menghubungi saya supaya saya dapat beraksi di Piala AFF 2018,” kata Jordy seperti dilaporkan KOMPAS.com.

Bagi membantu menunaikan hasratnya, Jordy telah meminta bantuan bekas rakan sepasukannya ketika beraksi bersama Telstar, Stefano Lilipaly yang kini beraksi bersama Bali United dan sudah menyarung jersi skuad kebangsaan Indonesia di Piala AFF Suzuki 2016.

Jordy berjaya membantu De Graafschap meraih promosi ke liga utama Belanda, Eredevisie selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Almere City dalam aksi Play-Off.

Kejayaan Jordy dan De Graafschap ini menguburkan impian seorang lagi pemain Indonesia, Ezra Walian untuk beraksi di divisyen utama Belanda bersama Almere City.

Jadi adakah kita akan dapat melihat aksi Jordy dalam jersi Garuda bersama Lilipaly? Semuanya bergantung kepada PSSI dan ketua jurulatih Indonesia untuk Piala AFF Suzuki nanti.