Berita Kolum

Coretan manis Diego Forlan di Liga Perdana Hong Kong

Barbanding saingan J1 League, Liga Super China atau Liga Indonesia, saingan Liga Perdana Hong Kong jelas kurang dikenali dan jarang didengar di telinga peminat bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun, Liga Perdana Hong Kong berupaya untuk meningkatkan kualiti dan populariti saingan mereka. Salah satu cara yang digunakan adalah hampir serupa dengan negara lain di Benua Kuning iaitu mendapatkan pemain dengan nama besar yang pernah berkelana di Eropah.

Menggunakan kesebelasan Kitchee sebagai senjata pemikat, Liga Perdana Hong Kong akhirnya membawa masuk Diego Forlan sebagai modal populariti ketika pemain dari Uruguay itu mahu berhijrah ke negara kecil yang terkenal dengan produksi filem-filem Mandarin berkualiti itu.

Sebelum memperkuatkan The Bluewaves, Forlan sudah melalui perjalanan karier yang luas di Eropah setelah mewakili Manchester United (England), Atletico Madrid dan Villareal (Sepanyol) serta Inter Milan (Itali). Selain daripada nama-nama itu, pemain yang dilahirkan di kota Montevideo ini juga pernah beraksi bersama Independiente (Argentina), Internacional (Brazil), Penarol (Uruguay) untuk kawasan Amerika Selatan serta Cerezo Osaka (Jepun) dan Mumbai City (India) bagi di Asia.

Menyertai pasukan selaku ejen bebas pada Januari lalu, Forlan membantu Kitchee untuk menyajikan aksi serta permainan yang jauh lebih sempurna. Beraksi sebanyak 13 kali, Forlan yang hari ini meraikan ulangtahun ke-39 telah menyumbat enam gol serta tiga bantuan jaringan.

Bahkan, dia pernah mencatat hatrik sewaktu Kitchee menewaskan Lee Man di aksi ke-11 liga sewaktu membantu pasukannya menang 5-1!

Kehadiran dan apa yang dilakukannya telah membantu melancarkan kempen The Bluewaves bagi memenangi Liga Perdana Hong Kong yang tampak semakin sukar dibendung. Trofi kelapan sepanjang sejarah kelab tersebut juga diraih dengan penuh dramatik, apabila tidak tewas dalam semusim.

Bagi Forlan sendiri, kisah manis itu membolehkannya meraih trofi juara ke-10 disepanjang kariernya di padang bola sepak, tidak kira bersama kelab atau skuad kebangsaan Uruguay.

Bagaimanapun, tempoh bakti Forlan di Staduim Mong Kok juga disahkan tamat sebaik sahaja saingan musim ini berakhir. Ianya berlaku kerana sewaktu menerima tawaran Kitchee sebelum ini, dia cuma diberikan kontrak selama enam bulan sahaja. Jadi, dia kini bergelar ejen bebas.

Situasi itu membuatkan banyak pihak yang bertanyakan tentangnya. Adakah dia akan bersara? Mungkin juga dirinya akan melanjutkan kontrak dengan pasukan sama atau mencari haluan.

Melihat kepada keadaan fizikalnya yang cukup baik, tidak perlu panic sekiranya Forlan mahu meneruskan karier bersama mana-mana kelab. Namun, jika telah bertekad untuk menamatkan perjalanan panjangnya sebagai pemain bola sepak yang hebat dari Uruguay, maki sudah tiba masanya untuk memberikan penghormatan kepada aksi cemerlangnya selama ini.