
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menjalinkan kerjasama rasmi dengan sebuah jenama antarabangsa, Spartan untuk membawa acara ‘Spartan Stadion’ ke Stadium Sultan Ibrahim.
Menurut Johor Southern Tigers, perjanjian komersil ini bakal menyaksikan acara ‘Spartan Stadion’ akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim setiap bulan Jun.
“Perjanjian ini selari dengan strategi antarabangsa JDT untuk membawa ribuan peserta dari luar negara untuk merasai sendiri laman Harimau Selatan dan hospitaliti JDT setiap tahun, sekaligus mengembangkan lagi jenama JDT di samping menjana pendapatan komersil untuk kelab.”
Ini kerjasama rasmi kedua selepas JDT memeterai perjanjian bersama syarikat sandwic terkemuka dunia, Subway.
Nampaknya, JDT sedang berusaha untuk mengukuhkan kewangan pasukan selepas terkesan dengan ketiadaan penonton yang membeli tiket untuk menonton perlawanan di stadium sepanjang musim ini akibat wabak Covid-19.
Malah, pengurangan kepada 11 perlawanan liga, pembatalan Piala FA dan Piala Malaysia turut memberikan kesan kepada pendapatan pasukan.