Malaysia Berita

Tony Fernandes dedahkan kerjasama yang akan diberikan kepada FAM

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan FAM dalam beberapa isu yang berkaitan pembangunan bola sepak negara.

Katanya, hasrat itu diluahkan oleh Tony selepas mengadakan pertemuan rasmi di Wisma FAM baru-baru ini.

“Dalam pertemuan itu, Tony menerusi syarikatnya, AirAsia berminat untuk mengadakan kerjasama rapat dengan FAM pada masa akan datang terutamanya aspek pengadilan, pasukan kebangsaan serta program pembangunan belia.

“FAM sememangnya mengalu-alukan pembabitan serta sokongan daripada ahli perniagaan seperti Tony dalam usaha kita untuk bersama-sama menaikkan semula bola sepak Malaysia,” katanya kepada Berita Harian.

Malah yang turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah ketua jurulatih pasukan Bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee dan Timbalan Presiden PJ Rangers FC, Simon Lim.

Pertemuan itu dilihat sebagai langkah permulaan kepada kerjasama kedua-dua belah pihak sekiranya Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu pada kongres ke-54 pada 14 Julai depan.

Selain Hamidin, dua individu iaitu Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turut mendapat pencalonan daripada ahli gabungan untuk merebut jawatan presiden bagi menerajui badan bola sepak itu pada masa akan datang.