Dengan terbukanya jendela perpindahan kedua, pasukan-pasukan kembali memperkuat skuad masing-masing. Yang berada di atas pastinya mahu terus kekal berada di atas, yang mengejar mahu terus merapatkan kedudukan dan yang di bawah mahu mendaki ke atas untuk mengelakkan penyingkiran.
Selepas setengah musim, pastinya setiap pasukan sudah tahu bahagian mana yang perlu dipertingkatkan. Segala kelebihan dan kekurangan sudah jelas dan kelemahan perlu segera diperbaiki.
Kuala Lumpur juga tidak terkecuali. Khabar angin setakat ini menyatakan skuad warga kota bakal menggantikan pemain import mereka, Junior Aperacido dengan bekas penyerang Bali United, Sylvano Comvalius. Namun persoalannya, adakah Kuala Lumpur benar-benar memerlukan seorang lagi penyerang import?
Melihat pada rekod Kuala Lumpur setakat ini, mereka menjaringkan 14 gol daripada 10 perlawanan. Melihat pada rekod itu, rasanya Kuala Lumpur tidak mempunyai masalah di bahagian serangan. Kuala Lumpur sebenarnya mempunyai lambakan pemain di bahagian serangan dengan adanya Guilherme De Paula, Paulo Josue, Zaquan Adha, Indra Putra dan Ashri Chuchu. Tetapi mungkin juga mereka mahu menambah seorang lagi penyerang import untuk membantu mengurangkan beban De Paula, tetapi adakah ianya wajar?
Mari kita lihat dari segi pertahanan pula. Setakat ini Kuala Lumpur merupakan antara pasukan yang paling banyak bolos dengan 22 gol dilepaskan. Rekod ini sama dengan pasukan di tangga tercorot, Negeri Sembilan. Kebanyakan kemenangan Kuala Lumpur adalah mereka menjaringkan gol yang lebih banyak daripada pasukan lawan. Skuad City Boys banyak melepaskan gol termasuk gol mudah ekoran kesilapan penjaga gol.
Melihat pada barisan pertahanan Kuala Lumpur pula, mereka mempunyai pemain seperti Boburjon Akbarov, Achmad Jufriyanto, Hisyamudin Sha’ari, Syazwan Andik, Azmeer Yusoff dan Firdaus Faudzi. Sebenarnya dari segi jumlah pemain, Kuala Lumpur mempunyai ramai pemain pertahanan.
Dalam beberapa perlawanan di mana Kuala Lumpur tewas, dapat dilihat mereka sebenarnya tewas di bahagian tengah. Kebiasaannya, Kuala Lumpur akan menggunakan trio Irfan Zakaria, Paulo Josue dan Indra Putra di bahagian tengah dengan Zhafri Yahya kadang-kala turut dimainkan. Irfan berperanan untuk melindungi bahagian pertahanan, Paulo Josue menjadi pemain perancang dan Indra pula lebih membantu bahagian serangan.
Sebenarnya, Kuala Lumpur perlu mencari seorang lagi pemain tengah import terutamanya yang boleh bertahan dan menyerang pada masa yang sama untuk mengurangkan beban Irfan dan Paulo Josue. Seringkali pasukan-pasukan dapat menghentikan serangan Kuala Lumpur dengan mengawal ketat Paulo Josue dan memberikan tekanan kepada Irfan Zakaria. Seorang pemain tengah yang boleh memberi bantuan kepada Paulo Josue diperlukan untuk memberikan lebih pilihan di bahagian tengah Kuala Lumpur. Dengan adanya pemain seperti itu, Paulo Josue boleh lebih fokus menyerang dan mengurangkan tanggungjawabnya untuk bertahan.
Setakat ini, masih belum ada kenyataan rasmi dari KLFA sendiri mengenai pemain import baru yang mereka mahu bawa masuk. Kuala Lumpur perlu berbelanja bijak dan cuba menjarakkan diri sejauh mungkin daripada berada di zon penyingkiran.