Malaysia Liga Super Malaysia

Masalah pelepasan pemain untuk pasukan negara, ini saranan Shebby Singh

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menagih simpati pasukan negeri dan kelab untuk melepaskan semua pemain bawah 23 tahun (B-23) beraksi di Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini.

Malah beliau menyarankan kepada jurulatih Datuk Ong Kim Swee supaya menggunakan pemain B-21 untuk mengisi kekosongan jika terdapat pemain B-23 yang tidak mendapat pelepasan daripada pasukan mereka.

“Setakat ini kita masih belum tahu sama ada pasukan akan lepaskan pemain atau tidak untuk ke Sukan Asia tapi saya percaya akan timbul konflik kerana tarikh Sukan Asia bertembung dengan kempen Piala Malaysia.

“FAM tidak ada kuasa untuk mengarahkan pasukan negeri atau kelab melepaskan pemain kerana Sukan Asia tidak termasuk dalam kalendar FIFA. Jadi daripada pening kepala memikirkan hal ini, adalah lebih baik Kim Swee beri peluang kepada pemain lain.

“Kalau tak boleh guna pemain B-23 terbaik, guna pemain B-23 kedua terbaik. Kalau tak boleh juga, guna sahaja pemain B-21 sebagai pendedahan untuk masa depan,” katanya kepada Berita Harian.

Kim Swee sebelum ini berhasrat untuk membawa pasukan terbaiknya ke Sukan Asia selepas berjaya melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China awal tahun ini.

Tambah Shebby, sekiranya Kim Swee tidak dapat menurunkan barisan pemain terbaik, beliau tidak boleh meletakkan sasaran tinggi dalam kejohanan tersebut.

“Kalau guna ramai pemain lebih muda, jangan pula kita letak sasaran tinggi, beri tekanan kepada mereka. Kita kena sedar dirilah. Kalau kena belasah sekali pun, itu harga yang perlu dibayar atas dasar pendedahan,” katanya.