Santai Luar Negara

Filem-filem terkenal Hollywood yang dipromosikan melalui bola sepak

Walaupun sukan bola sepak tidak begitu terkenal di Amerika Syarikat, pihak produksi filem Hollywood beberapa kali telah menggunakan industri sukan itu sebagai medium untuk mempromosikan filem meraka.

Berikut adalah beberapa promosi filem terkenal yang melibatkan sukan bola sepak:

Deadpool 2 dan Manchester United

Sekuel filem adiwira khusus buat golongan dewasa ini begitu meluas daripada segi promosi. Salah satu cabang promosi mereka adalah bersama kelab gergasi England, Manchester United. Pada awal Mei 2018, ‘Deadpool 2’ telah mengeluarkan satu video yang menampilkan adiwira itu mengambil-alih Old Trafford. Beberapa pemain United seperti Juan Mata dan Alexis Sanchez turut terlibat.

X-Men dan Manchester United

Sebagai sebuah kelab yang memiliki penyokong terbanyak di dunia, Manchester United dilihat sudah menjadi pilihan tetap Hollywood untuk mempromosikan filem mereka. Pada tahun 2016, salah sebuah filem sekuel X-Men iaitu ‘X-Men: Apocalypse’, telah dipromosikan oleh United. Maskot kelab itu diwarnakan biru sehingga kelihatan seperti salah satu watak dalam filem itu.

Suicide Squad

Selain Deadpool dan X-Men yang merupakan produk X-Men, filem adiwira daripada produksi DC ini juga tidak ketinggalan menggunakan bola sepak sebagai saluran promosi. Pada tahun 2016, ‘Suicide Squad’ mencipta satu video tular yang menampilkan watak-watak mereka diletakkan dalam satu jenis formasi dalam pasukan bola sepak.

Foto: Scout Magazine

Star Wars

Pada tahun 2017, salah satu filem sekuel Star Wars iaitu ‘The Last Jedi’ telah diterbitkan. Disney selaku pemegang hakcipta Star Wars tidak ketinggalan untuk mengambil kesempatan terhadap populariti dalam bola sepak. Namun, mereka melakukannya dengan cara yang unik apabila mewujudkan bola hasil daripada watak droid (robot) dalam filem itu iaitu BB-8. Bola BB-8 ini digunakan secara rasmi oleh liga tertinggi Australia, A-League.

Spider-Man dan Atletico Madrid

Lama sebelum Deadpool dan X-Men bekerjasama dengan Manchester United, Atletico Madrid telah melakukannya kira-kira empat belas tahun yang lalu. Salah seorang adiwira paling popular di dunia, Spider-Man, ditampilkan pada jersi skuad Atletico Madrid. Promosi ini tercetus hasil kerjasama pihak Columbia Pictures dan Atletico sempena tayangan filem ‘Spider-Man 2’ pada tahun 2004.

Peter Pan, Anaconda, dan Atletico Madrid

Pada musim 2003/04, Atletico Madrid sememangnya hanya mampu menamatkan aksi liga di tangga ketujuh. Namun, kerjasama penaja mereka akan dikenang sehingga kini. Selain Spider-Man, kerjasama Los Colchoneros dan Columbia Pictures tlah menampilkan pelbagai filem pada jersi Atletico seperti Peter Pan dan Anaconda