Persembahan Khairul Fahmi Che Mat yang menyelamatkan cubaan demi cubaan daripada pasukan Perak bagi mempertahankan gawang Melaka daripada dibolosi cukup memukau sehingga dipuji oleh dua jurulatih iaitu Mehmet Durakovic dan jurulatihnya sendiri E. Elavarasan.
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, berkata, Khairul Fahmi Che Mat, bertindak cemerlang sehingga menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga percubaan bahaya pasukannya dalam aksi Liga Super menentang Melaka di Ipoh.
“Apek menjadi penghalang kepada kemenangan kami.
“Perak sungguh bergaya dalam 90 minit, namun kecekapan Apek dan barisan pertahanan Melaka berjaya mematahkan percubaan yang sepatutnya dapat menghasilkan gol. Memang sukar untuk melepasinya.
“Rugi kerana ini peluang untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, JDT tetapi keputusan seri 1-1 malam ini ideal untuk kedua-dua pasukan,” katanya kepada Stadium Astro.
Bagi jurulatih Melaka, E. Elavarasan pula, pengalaman bekas penjaga gol Kelantan itu bermain dengan cukup lama di Liga Super serta di peringkat antarabangsa ternyata memberi kelebihan buat pasukannya.
“Khairul Fahmi bertindak cemerlang. Pengalamannya nyata membantu dan mengelakkan kami dibolosi dengan serangan bertali arus Perak, terutamanya dalam separuh masa kedua,” katanya.
Perak kini menduduki di tempat kedua dengan 20 mata berbeza lima mata di belakang pendahulu liga JDT sementara Melaka pula berada di tempat ke-10 dengan 10 mata dengan hanya dua mata dipisahkan dengan Kelantan yang menduduki tangga ke-11 liga.