Malaysia Kolum

Prestasi Yo-Yo City Boys: Hebat bagaikan Real Madrid, hambar bagaikan Kampung Baru FC

Apa lagi yang boleh dikatakan mengenai prestasi Kuala Lumpur musim ini? Kekalahan kepada skuad muda Kelantan di Kota Bharu menyebabkan City Boys terus hampa untuk memungut mata di tempat lawan.

Aneh melihat prestasi Kuala Lumpur di Liga Super. Cukup hebat dan kebal beraksi menentang pasukan di tangga teratas, tetapi caca marba apabila beraksi menentang kelompok bawahan. Lihat saja aksi menentang JDT, Kedah, Pahang dan PKNS. Bandingkan pula dengan aksi menentang PKNP, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Melihat aksi Kuala Lumpur menentang juara bertahan Liga Super JDT dan Kedah di Stadium Bolasepak Cheras memang menarik. Semangat juang setiap pemain begitu tinggi dan aksi yang ditonjolkan cukup heroic. Kuala Lumpur hanya tewas sekali di laman sendiri setakat ini dan itu pun kepada pasukan yang berkongsi stadium dengan mereka, Selangor.

Kita lihat pula aksi menentang PKNP, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan di tempat lawan. Cukup caca marba. Ada sesetengah pemain menunjukkan aksi longlai dan tidak bertenaga seperti ketika bertemu pasukan kuat. Taktikal tidak menjadi dan bolos dengan begitu banyak. Keputusan Kuala Lumpur beraksi di tempat lawan adalah seperti berikut:

Negeri Sembilan 2-0 Kuala Lumpur
PKNP 2-1 Kuala Lumpur
Perak 3-0 Kuala Lumpur
Kelantan 4-2 Kuala Lumpur

Daripada empat perlawanan di tempat lawan, mungkin sepatutnya ada dua perlawanan yang seharusnya Kuala Lumpur memungut tiga mata penuh. Menentang Negeri Sembilan dan Kelantan sepatutnya memberikan kelebihan buat Kuala Lumpur terutamanya kalau kita lihat aksi mereka menentang pasukan kelompok atas. Daripada tujuh pasukan yang setakat ini berada di atas Kuala Lumpur, City Boys telah menewaskan tiga daripada mereka dan satu seri. Cuma Terengganu sahaja yang belum bertemu Kuala Lumpur.

Masalah aksi di tempat lawan ini perlu diselesaikan segera oleh Fabio Maciel. Fabio sendiri pastinya merasa pelik dengan aksi yang ditunjukkan anak buahnya di tempat lawan. Tetapi dia perlu segera membaiki masalah ini. Jendela perpindahan kedua ini akan menjadi penentu kepada kedudukan Kuala Lumpur musim ini. Selepas kesilapan membawa masuk Junior Aparecido, Kuala Lumpur perlu bijak mencari pemain import baru. Setakat melihat aksi Kuala Lumpur musim ini, nampaknya mereka perlu mencari seorang pemain tengah bertahan untuk membolehkan Paulo Josue lebih banyak menyerang.

Jika masalah ini tidak diselesaikan, kita akan terus melihat aksi Kuala Lumpur yang ketika hebat bagaikan Real Madrid, tetapi ketika beraksi hambar bagaikan lebih teruk daripada Kampung Baru FC.