Luar Negara Eropah

Barisan pemain yang gagal di EPL tetapi menyerlah di liga Eropah lain musim ini

Selaku pentas yang berkualiti tinggi, Liga Perdana Inggeris (EPL) pastinya menjadi destinasi pemain bola sepak profesional di seluruh dunia. Namun, gagal di England bukan bermaksud segalanya berakhir.

Nama-nama ini membuktikan penampilan hebat mereka pada musim 2017/18 bahawa masih wujud kehidupan di liga Eropah yang lain.

Memphis Depay, Mapou Yanga-Mbiwa dan Bertrand Traore (Olympique Lyon)

Lyon ketika ini memiliki tiga bekas pemain dari EPL iaitu Depay (Manchester United), Yanga-Mbiwa (Newcastle United) dan Traore (Chelsea). Ketiga-tiga pemain ini menjadi nadi penting buat Lyon dalam merebut tempat kedua Ligue 1 dari AS Monaco. Yanga-Mbiwa menjadi tonggak pertahanan yang utama, sementara Traore dan Depay muncul pertaruhan utama di barisan depan dengan koleksi 27 gol.

Florian Thauvin, Dimitri Payet dan Kostas Mitroglou (Marseille)

Sebenarnya, masih ada seorang lagi pemain iaitu Steve Mandanda tetapi tiga nama ini adalah kunci utama kecemerlangan Marseille pada musim ini. Thauvin (bekas pemain Newcastle United) dan Payet (bekas pemain West Ham United) tidak hanya menjadi inspirasi kelab dalam melayakkan diri ke final Liga Europa, malah menjadi calon untuk mewakili Perancis di Piala Dunia 2018. Sementara itu, Mitroglou, penyerang Greece yang gagal di Fulham turut mencetak banyak gol buat Marseille pada musim ini.

Angel Di Maria (Paris Saint-Germain)

Walaupun standard yang ditampilkan Paris Saint-Germain pada musim ini hanya dilihat sebagai biasa oleh pemilik kelab, namun mereka tetap bergelar juara Ligue 1. Prestasi itu cukup untuk memuaskan Di Maria, selepas dianggap salah satu pembelian terburuk Manchester United ketika musim 2014/15.

Iago Aspas (Celta Vigo)

Mari beralih dari Perancis. Seorang bekas penyerang Liverpool yang dianggap gagal baru sahaja mengutip gol ke-20 buat pertama kali dalam kariernya. Pada usia 30 tahun, Aspas tampil hebat bersama Celta Vigo dalam dua musim terakhir, sehingga kini dia berpeluang untuk memimpin barusan depan skuad kebangsaan Sepanyol di Piala Dunia 2018.

Luis Alberto (Lazio)

Rakan Aspas yang sama-sama dianggap gagal ketika di Liverpool pada musim 2013/14 ini juga berada pada prestasi luar biasa. Dalam usia yang memasuki 25 tahun, Alberto membentuk persefahaman yang menggerunkan lawan dengan penyerang, Ciro Immobile, mencatat 11 gol serta 13 bantuan jaringan. Catatan bantuan gol itu merupakan yang terbanyak di Serie A sehingga khidmatnya menjadi perhatian Sepanyol menjelang Piala Dunia.

Serge Gnabry dan Andrej Kramaric (Hoffenheim)

Hoffenheim dapat bersaing di kelompok atas Bundesliga hasil sentuhan pengendali, Julian Nagelsmann. Dua pemain utamanya adalah bekas pemain di EPL. Gnabry yang pernah mewakili Arsenal menyertai Bayern Munich, sebelum dipinjamkan ke Hoffenheim sejak musim lalu dan tampil cemerlang, sementara bekas pemain Leicester City, Kramaric, berjaya menggalas tugas menggantikan tempat Sandro Wagner. Kelibat dua pemain ini telah mencatat 22 gol Bundesliga.

Adnan Januzaj (Real Sociedad)

Pintu skuad kebangsaan Belgium tampak seperti kembali terbuka buat Januzaj. Bekas pemain Manchester United ini sedang menikmati peranan pentingnya buat skuad utama Sociedad. Pemain berusia 23 tahun ini membuktikan bahawa dirinya masih layak untuk dibawa ke Piala Dunia 2018. Dalam 32 penampilan di semua kejohanan, dia menjaringkan empat gol dan enam bantuan jaringan buat pasukannya.

Marco van Ginkel dan Luuk de Jong (PSV Eindhoven)

Kejayaan PSV meraih kejuaraan Eredivisie pada musim ini juga tidak terlepas daripada sumbangan pemain yang pernah beraksi di EPL. Kapten pasukan, Marco van Ginkel, adalah pemain berstatus pinjaman dari Chelsea sementara penyerang utama, Luuk de Jong, pernah menyarung jersi Newcastle United menerusi pinjaman tetapi gagal memberikan kesan memuaskan.