Eropah

Semoga cepat sembuh Sir Alex!

Sir Alex Ferguson. Satu nama yang cukup ikonik dalam bolasepak. Seorang pengurus yang berjaya menempa nama sebagai seorang pengurus yang cukup berjaya dan disegani dalam dunia bolasepak.

Satu berita yang mengejutkan tersebar semalam, apabila bekas pengurus Manchester United ini dilaporkan menjalani pembedahan kecemasan kerana mengalami pendarahan otak. Manchester United menerusi satu kenyataan mengatakan bahawa pembedahan tersebut berjalan lancar namun meminta orang ramai memberikan ruang kepada keluarga Sir Alex.

Bolasepak itu satu perkara yang indah. Di sebalik persengkataan di antara penyokong, pasukan dan pemain, ada sesetengah perkara mampu membuatkan semuanya bersatu. Tragedi adalah salah satu daripadanya. Laman sosial dibanjiri ucapan agar Sir Alex Ferguson sembuh daripada dunia bolasepak.

Antara yang menarik perhatian sudah tentu ucapan daripada bekas-bekas pemain yang pernah beraksi dengan Sir Alex. Melihat kesedihan mereka, tahulah betapa besarnya impak Sir Alex yang bagaikan bapa kepada sesetengah pemain ini.

Anderson, Cristiano Ronaldo, Robin Van Persie, Javier Hernandez, Michael Carrick dan Wayne Rooney adalah antara bekas pemain yang pernah beraksi di bawah kendalian Sir Alex yang mendoakan kesihatan Sir Alex. Kelab-kelab Eropah dan England seperti AS Roma, Olympique Marseille, Chelsea, Glasgow Rangers, Nottingham Forest, Arsenal dan banyak lagi turut mengeluarkan kenyataan yang sama.

Kita tahu perseteruan di antara Manchester United dan Liverpool. Insiden yang berlaku ini menunjukkan di saat tragedi menimpa, perseteruan ditolak tepi. Suatu ketika dahulu Kenny Dalglish pernah mengeluarkan kenyataan ini berkenaan Sir Alex ketika Liverpool dilanda tragedy Hillsborough: “ Ada yang menyukainya (Sir Alex), ada yang membencinya, tetapi apabila perkara buruk berlaku, seperti Hillsborough, Alex adalah antara yang terawal menghulurkan bantuan.”

Melihat reaksi peminat bolasepak terhadap insiden ini dapat kita lihat betapa besar impak Sir Alex Ferguson. Penulis sendiri membesar sebagai seorang peminat Manchester United yang melihat Sir Alex Ferguson memimpin Manchester United dan membawa kejayaan saban tahun. Jika berita persaraannya sahaja sudah cukup membuatkan penulis rasa sebak, bagaimana pula jika suatu hari dunia kehilanggan figura besar ini?

Kami di Football Tribe Malaysia mendoakan kesihatan Sir Alex Ferguson. Setelah lama berjuang dan mengatasi segala cabaran, ini lagi satu cabaran yang perlu ditempuh oleh Sir Alex. Get Well Soon Sir Alex Ferguson!