Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Previu Panama di Piala Dunia 2018: Sekumpulan pemain veteran yang mencari keajaiban

Terdapat dua negara yang akan melakukan penampilan pertama di Piala Dunia 2018 nanti. Yang pertama adalah Iceland, negara kecil yang hanya mempunyai jumlah penduduk 300 ribu orang di Eropah. Negara yang indah ini akhirnya layak ke Piala Dunia setelah sekian lama, menjadikan Iceland sebagai negara terkecil yang pernah beraksi di pentas itu.

Bagaimanapun, layaknya Gylfi Sigurdsson dan rakan sepasukannya tidak mengejutkan, lebih-lebih lagi selepas mereka mempamerkan kejayaan dengan persembahan cemerlang di Piala Eropah 2016, termasuk kebanyakan pemain mereka yang beraksi bersama pasukan berkualiti di Eropah. Jadi, ia berbeza dengan satu lagi negara yang bakal melalui pengalaman pertama di Piala Dunia, Panama.

Panama layak ke Piala Dunia 2018 menjadi satu perkara yang dilihat berlaku 1000 tahun sekali. Ya, alasan mengenai mengapa Los Canaleros layak ke Piala Dunia sebagai satu kejutan sememangnya logik. Mereka tidak memiliki seorang pemain pun yang beraksi di liga besar Eropah. Usahkan Eropah, di Brazil atau Argentina di Amerika Selatan pun tiada wakil mereka. Pemain daripada skuad mereka ketika ini dibarisi oleh pemain yang sudah berusia 30 tahun ke atas.

Namun, itu tidak bererti keajaiban tidak mampu berlaku buat kali kedua. Selepas mampu menamatkan saingan kelayakan di atas Amerika Syarikat dalam saingan zon CONCACAF, kelompok pemain veteran ini pastinya mengharapkan keajaiban di Russia pula.

Barisan pemain

Pengendali pasukan, Hernan Dario Gomez, telah membariskan 23 pemain yang akan memperkuatkan pasukan di Russia nanti. Terdapat 10 orang pemain (Jaime Penedo, Jose Calderon, Roman Torres, Adolfo Machado, Felipe Baloy, Gabriel Gomez, Armando Cooper, Alberto Quintero, Blas Perez, dan Luis Tejada) yang telah berusia lebih 30 tahun telah dinamakan dalam pasukan, menjadikan Panama sebagai skuad yang memiliki purata umur tertua di Piala Dunia nanti.

Namun, mereka juga dibarisi oleh pemain muda yang baru mempunyai satu penampilan, iaitu Jose Luis Rodrigues, pemain yang mewakili kelab junior KAA Gent dari Belgium. Rodrigues berusia 19 tahun dan baru melakukan debutnya dalam aksi pemanas badan menentang Ireland Utara, baru-baru ini.

Kekuatan

Sukar untuk menjangkakan kekuatan skuad Panama, lebih-lebih lagi ketika membandingkan dengan pasukan lain yang bersaing di Piala Dunia. Apa yang pasti adalah barisan pemain yang berusia sudah tentu memiliki pengalaman yang luas. Hampir semua pemain mereka seperti Blas perez, perancang utama iaitu Gabriel Gomez serta kapten, Felipe Baloy, adalah pemain tua dengan jumlah penampilan melebihi 100 kali.

Hernan Gomez adalah individu yang berpengalaman di Piala Dunia. Lelaki dari Colombia ini pernah membawa pasukan kebangsaan negaranya layak ke Piala Dunia 1998 serta bersama Ecuador ketika Piala Dunia 2002. Jika tidak banyak yang boleh dibanggakan oleh Gomez, pengalaman adalah salah satu daripadanya.

Kelemahan

Sebenarnya, kelemahan Panama mempunyai kaitan dengan kekuatannya. Berbekalkan kudrat pemain berusia, La Marea Roja  pasti berdepan kesukaran untuk menentang negara seperti England dan Belgium di peringkat kumpulan nanti. Tiada pemain yang memiliki kepantasan, sudah terlalu lama beraksi serta menyukarkan corak permainan.

Mereka juga bukan sebuah pasukan yang benar-benar hebat ketika bertahan atau tajam ketika menyerang. Dalam aksi kumpulan kelayakan yang terakhir, Panama hanya menyumbat sembilan gol dan dibolosi 10 kali, membuatkan kelayakan mereka mencatat jumlah negatif gol.

Hasil aksi pemanas badan yang dilalui juga agak meragukan. Daripada enam aksi yang dilalui, hanya dua kemenangan diraih iaitu keatas Grenada dan Trinidad Tobago. Mereka dibelasah Switzerland 6-0 dan tewas ditangan Iran serta Denmark dengan beza satu gol. Ia membuktikan bahawa mereka akan berdepan saingan sukar daripada pencabar di Piala Dunia nanti.

Pemain utama: Gabriel Gomez

Terdapat tiga pemain utama yang perlu diawasi di Piala Dunia nanti. Mereka adalah gandingan penyerang, Blas Perez dan Gabriel Torres, yang kemungkinan akan melalui penggiliran serta pemain tengah, Gabriel Gomez. Gomez mungkin akan menjadi kunci utama kerana dia adalah nadi Panama ketika ini. Mengumpul jumlah penampilan terbanyak dengan 143 kali, dia adalah pemain tengah bertahan yang mampu mengawal tempo permainan, melancarkan perancangan utama pasukan serta mampu bertahan dengan baik.

Jangkaan formasi

Hernan Gomez sering bereksperimen dalam formasinya, bermula dengan 5-4-1, 4-4-2, 4-2-3-1 sehingga 4-1-4-1 dalam aksi pemanas badan. Bagaimanapun, kemungkinan besar ia akan menjadi 4-1-4-1, formasi yang digunakan dalam aksi terakhir bertemu Ireland Utara. Posisi penjaga gol akan digalas oleh Jaime Penedo, atau bergelir dengan Jose  Calderon. Barisan bawah diperkuatkan oleh kapten, Felipe Baloy, serta pemain Seattle Sounders, Roman Torres.

Gabriel Gomez akan mengawal jentera tengah sambil dibantu Armando Cooper dan Alberto Quintero sementara barisan penggempur Panama diperkuatkan oleh Blas Perez atau Gabriel Torres yang akan merebutkan kesebelasan utama walaupun kedua-duanya mungkin diturunkan kerana kepantasan dimiliki.

Peluang di Piala Dunia

Agak mustahil buat Panama untuk melepasi Kumpulan G kerana mereka perlu berdepan pasukan gergasi, England dan Belgium. Mereka tampak masih mampu mencuri mata sewaktu menentang Tunisia tetapi peluang tetap tipis. Hanya keajaiban yang mampu membawa Panama melepasi peringkat kumpulan. Namun, bagi mereka, dapat beraksi di Piala Dunia sudah memberikan satu keajaiban tersedendiri.