Malaysia Liga Super Malaysia

Kuala Lumpur intai penyerang Belanda?

Nampaknya Kuala Lumpur mula serius mahu memberi cabaran sebenar di Liga Super.

Tidak berpuas hati dengan sekadar berada di kelompok terbawah Liga Super, skuad The City Boys dikhabarkan akan memperkuat jentera serangan mereka bagi saingan pusingan kedua.

Ekoran prestasi hambar pemain import mereka, Junior Aparacido, Kuala Lumpur dikatakan sedang mengintai bekas penyerang import Bali United, Sylvano Comvalius yang kini beraksi di Liga Thailand bersama Suphanburi FC.

Penyerang Belanda tersebut menjaringkan 37 gol daripada 34 perlawanan untuk Bali United pada musim lalu dan merupakan bekas pemain daripada akademi Ajax Amsterdam.

Selepas menunjukkan aksi mantap di Bali United, Sylvano berhijrah ke Thailand. Namun selepas beraksi dalam enam perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol, Sylvano dikhabarkan kurang gembira dan mahu berhijrah keluar daripada Suphanburi.

Kuala Lumpur buat masa ini menggunakan empat pemain import iaitu Guilherme De Paula dan Paulo Josue dari Brazil, pemain pertahanan dari Uzbekistan Boburjon Akbarov dan pemain pertahanan Indonesia, Achmad Jufriyanto. Junior yang dibawa masuk pada awal musim kini tidak selalu diturunkan selepas menunjukkan aksi hambar biarpun sudah diberi peluang.