Nampaknya tinggi sasaran Indonesia untuk Piala AFF 2018 nanti.
Selepas beberapa kali mara ke perlawanan akhir dengan kali terakhir pada tahun 2016, Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) kali ini menetapkan sasaran untuk muncul juara bagi aksi Piala AFF Suzuki.
“Piala AFF 2018 (kita) harus jadi juara,” kata Setiausaha Agung PSSI, Ratu Trisha seperti dilaporkan oleh Bolasport.com selepas majlis undian peringkat kumpulan Piala AFF 2018 di Jakarta, semalam.
Sasaran tersebut mungkin dilihat kurang realistic dengan Indonesia diletakkan dalam kumpulan maut, bersama juara 2016 Thailand, Filipina, Singapura dan salah satu daripada Brunei atau Timor Leste yang perlu beraksi di peringkat kelayakan.
Indonesia akan beraksi menentang Filipina dan salah satu daripada Brunei atau Timor Leste di tempat sendiri tetapi perlawanan juga perlu bertandang ke Singapura dan Thailand dalam dua lagi perlawanan.
Kali terakhir Indonesia layak ke perlawanan akhir pada tahun 2016, mereka tewas kepada Thailand dengan agregat 3-2. Indonesia menewaskan Thailand 2-1 ketika beraksi di Stadium Pakansari, Bogor sebelum tewas 0-2 di Stadium Rajamangala.
Kumpulan A pula dihuni oleh Vietnam, Malaysia, Myanmar, Kemboja dan Laos.
Piala AFF Suzuki akan berlangsung pada 8 November hingga 15 Disember 2018. Format baru digunakan dalam edisi kali ini di mana semua pasukan akan beraksi dua kali di laman sendiri dan dua kali di tempat lawan bagi peringkat kumpulan. Thailand setakat ini terus unggul sebagai juara terbanyak dengan lima kejuaraan Piala AFF Suzuki sejak kejohanan ini diwujudkan pada tahun 1996.