Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Thanabalan cemerlang di Alor Setar, prestasi Khairul Helmi terus merudum

Kedah hanya mampu menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan kelebihan 2 gol pada separuh masa pertama setelah Negeri Sembilan bangkit pada separuh masa kedua untuk mencatat keputusan seri 3-3 seterusnya membawa pulang satu mata berharga daripada Alor Setar.

Kedah memperoleh jaringan menerusi Liridon Krasniqi, Syazwan Zainon dan Sandro Mendonca pada minit ke-2 , minit ke-27 dan minit ke-31 manakala Negeri Sembilan membalas kembali menerusi jaringan N Thanabalan, Nicolas Velez dan Flavio Beck Junior pada minit ke-4, minit ke-48 dan minit ke-87.

Berikut merupakan pemerhatian kami daripada perlawanan tersebut:

Thanabalan cemerlang dengan posisi beliau dalam permainan

Jika dalam perlawanan lalu, Thanabalan dimasukkan sebagai pemain gantian, pada malam ini beliau diberikan peluang untuk memulakan perlawanan dan beliau terus memberikan impak segera apabila berada di tempat yang betul untuk memberikan respon yang paling pantas terhadap bola muntah hasil rembatan Flavio Beck Junior.

Khairul Helmi sekali lagi memberikan aksi mengecewakan

Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Khairul Helmi telah pun melakukan kesilapan-kesilapan yang mengakibatkan Kedah kehilangan mata dalam perlawanan-perlawanan tersebut. Malam ini, beliau sekali lagi menjadi punca kepada keciciran mata apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Negeri Sembilan dengan satu terjahan daripada belakang ke atas Nicolas Velez dalam kotak penalti.

Kedah gagal 'membunuh' perlawanan pada babak pertama

Selain 3 gol yang dihasilkan, Kedah mempunyai deretan peluang yang gagal disudahkan, terutamanya 2 peluang yang masing-masing singgah di tiang gol dan palang gol menerusi Sando Mendonca dan Baddrol Bakhtiar. Jika peluang-peluang ini berjaya disudahkan, maka tiada apa lagi yang boleh pasukan Negeri Sembilan lakukan selain menyudahkan separuh masa kedua sahaja.

Kedah sekali lagi menunjukkan kelonggaran bahagian pertahanan

Jika separuh masa pertama memperlihatkan kerancakan pasukan Kedah mencipta peluang, separuh masa kedua pula memperlihatkan kelonggaran pasukan Kedah dalam mod bertahan. Selain gol kedua pasukan Negeri Sembilan, Negeri Sembilan yang pada separuh masa pertama tidak banyak memegang bola secara kolektif, dibenarkan untuk memegang bola dengan tempoh yang agak lama serta mewujudkan kemungkinan untuk mereka mendapatkan gol penyamaan. Tiada masalah untuk mengendurkan intensiti perlawanan, namun bahagian pertahanan harus peka dengan tugas mereka.

Dua corak berbeza dari pasukan Negeri Sembilan

Babak pertama menyaksikan para pemain pasukan Negeri Sembilan seolah-olah tidak mahu langsung mempertahankan kawasan mereka daripada asakan pemain pasukan Kedah, menyebabkan Kedah memperoleh 2 gol yang agak mudah. Aizulridzwan pula sangat cuai apabila mengangkat kaki dengan tinggi ketika mencabar bola dalam kawasan kotak penalti sendiri, seterusnya menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Kedah. Jika mereka beraksi cemerlang sepertimana dalam separuh masa kedua pada separuh masa pertama, sudah tentu mereka boleh melakukan kejutan pada malam ini.