Malaysia Liga Super Malaysia

Perlawanan Liga Super di antara JDT dan Selangor sah ditunda

Perlawanan di antara Johor Darul Ta’azim (JDT) menentang Selangor merupakan antara perlawanan hari ini yang dinanti. Ramai menunggu untuk melihat adakah Red Giants mampu menewakan Harimau Selatan di Larkin.

Namun, hasrat itu perlu ditahan buat sementara waktu selepas Malaysian Football League (MFL), mengumumkan bahawa perlawanan tersebut akan ditunda ke esok.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi mereka, Football Malaysia LLP berbunyi:

“Komisioner Perlawanan telah dimaklumkan oleh pengadil bahawa keadaan padang di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin tidak sesuai untuk bermain bagi perlawanan malam ini. Ianya berikutan hujan tanpa henti di Johor Bahru dari malam tadi sehingga ke hari ini. Dari pengalaman pegawai perlawanan, keadaan tidak mungkin berubah sebelum waktu perlawanan.

“Oleh kerana perlawanan malam ini sangat sengit, pengadil membuat keputusan awal menunda perlawanan ini di atas faktor keselamatan. Keputusan awal ini dibuat bagi mengelakkan sebarang isu yang mungkin timbul berkenaan kehadiran penyokong yang tidak dapat menyaksikan perlawanan malam ini.”

Penundaan ini telah menimbulkan rasa kurang senang terutamanya di kalangan penyokong Selangor yang telah merancang dan tiba di Johor bagi menyaksikan perlawanan ini. Sebelum ini perlawanan di antara Kuala Lumpur dan JDT di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur juga pernah ditangguhkan pada minit ke-57 perlawanan ekoran keadaan cuaca dan permukaan padang yang terjejas akibat hujan lebat.