Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Patrick Cruz terus menyinar sebagai mesin gol, Terengganu menderita tanpa Tchetche

Terengganu menerima kunjungan jiran tetangga, Pahang pada malam ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Biarpun tanpa kelibat Matthew Davies dan Safuwan Baharudin, skuad Tok Gajah mula membuka jaringan seawal minit ke-38 menerusi Patrick Cruz.

Separuh masa kedua, Patrick Cruz sekali lagi menggandakan jaringan untuk memastikan Pahang dihadapan. Terengganu kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti dan Lee Tuck dengan tenang menyempurnakan untuk merapatkan jurang.

Namun, Pahang menambah duka Terengganu apabila, Patrick Cruz berjaya melorongkan bola untuk Faisal Abdul Halim pada minit terakhir masa kecederaan bagi memastikan tiga mata dapat dibawa pulang ke Kuantan.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tersebut:

Sumareh "duri dalam daging" pertahanan Terengganu

Kepantasan dan kelincahan yang dimiliki sumareh memaksa bahagian pertahanan Terengganu bekerja keras untuk mengekang beliau. Beberapa larian yang dilakukannya berjaya menarik bek Terengganu keluar dari posisi sekaligus merobek benteng pertahanan Terengganu. Satu gelecekan mengalahkan beberapa pemain Terengganu oleh Sumareh pada separuh masa pertama memberikan peluang kepada Wan Zaharulnizam melorongkan bola kepada Patrick Cruz untuk menjaringkan gol pertama dalam perlawanan ini.

Akanni Sunday tidak dapat mengisi kekosongan Kipre Tchetche

Irfan Bakti menurunkan skuad Terengganu dengan formasi 4-1-4-1 dengan meletakkan Akanni Sunday sebagai penyerang utama. Namun, dengan corak yang diterapkan Irfan Bakti untuk Terengganu, penyerang Nigeria itu bukan calon yang tepat untuk tugas tersebut. Corak permainan beliau lebih kepada turun di bahagian midfield untuk mendapatkan bola daripada menjadi “target-man” untuk menerima atau menyimpan bola. Selain itu, ketumpulan di hadapan gol juga menyebabkan banyak hantaran disia-siakan.

Patrick Cruz mesin gol Pahang

Ketiadaan Forkey Doe semakin dilupai oleh Pahang. Patrick Cruz membuktikan beliau mampu menggalas tugasan diberikan Dollah Salleh untuk merobek gawang lawan. Gaya permainan yang tenang, mampu menggelecek pertahanan lawan dan mempunyai kelebihan “one-on-one” berhadapan penjaga gol adalah aset penyerang Brazil ini. Hasilnya, Patrick Cruz mudah menjaringkan dua gol dan satu bantuan gol kepada Faisal Abdul Halim pada malam ini.

Kemasukan Faiz Nasir mengubah corak permainan Terengganu

Separuh masa kedua, Irfan Bakti memasukkan pemain bertubuh kecil ini menggantikan Fitri Omar. Beliau pantas menterjemahkan pertukaran itu dengan mengasak bek kanan pasukan Pahang. Selain itu, permainan Terengganu bertukar kepada hantaran bawah dan pendek dengan kehadiran Faiz Nasir. Tambahan lagi, kemasukan beliau menampakkan banyak hantaran lintang berjaya dilakukan oleh pasukan Terengganu.

Persembahan baik oleh Helmi Eliza

Penjaga gol Pahang wajar diberikan pujian pada malam ini. Jikalau tidak kerana gol penalti, Pahang mampu pulang pada malam ini dengan “clean sheet”. Beberapa percubaan daripada J. Partiban, Lee Tuck dan Bruno Suzuki berjaya dinafikan oleh beliau. Apa yang jelas, Helmi Eliza kekal fokus dan berdisiplin sepanjang perlawanan demi memastikan pintu gawangnya tidak mudah dibolosi pihak lawan.