Malaysia Kolum

Menjelang undian Piala AFF Suzuki 2018, lupakan kenangan 2010

Dua tahun sekali kita menikmatinya. Tapi dalam banyak kali percubaan, cuma sekali sahaja kita berjaya menjulangnya. Ya, itulah Piala AFF Suzuki. Kejohanan dwi tahunan yang dianjurkan untuk melihat siapakah jaguh di Asia Tenggara.

Bagi Malaysia, ini antara kejohanan yang sering kita tunggu. Satu-satunya kejohanan di mana secara realistiknya kita boleh menjulang piala dan kita berjaya melakukannya pada tahun 2010 dan sudah beberapa kali kita berjaya mara ke perlawanan akhir.

Tapi jika kita nilaikan persembahan skuad kebangsaan kita dalam beberapa tahun ini, mampukah kita mengulangi kejayaan 2010?

Sejak kejayaan pada tahun 2010, satu-satunya peluang kita untuk memenangi Piala AFF Suzuki adalah pada tahun 2014 di mana kita tewas melawan kepada Thailand di perlawanan akhir. Pada tahun 2016, kita terkandas di peringkat kumpulan selepas menunjukkan aksi hambar.

Melihat prestasi skuad kebangsaan beberapa tahun ini, keyakinan untuk memberi saingan di Piala AFF Suzuki tidak begitu tinggi. Dengan semakin banyak pasukan-pasukan Asia Tenggara meningkat, kita dilihat semakin ketinggalan. Berdasarkan ranking terbaru FIFA, kita kini di belakang Vietnam, Filipina, Thailand, Myanmar dan paling mengejutkan, kita juga di belakang Kemboja!

Mungkin ranking FIFA tidaklah suatu tanda aras tepat untuk menilai keupayaan kita, tetapi dengan pasukan seperti Filipina juga mampu mara ke Piala Asia, nampaknya rantau Asia Tenggara semakin banyak pasukan yang hebat. Vietnam, Thailand dan Filipina mungkin antara pilihan untuk menjulang Piala AFF Suzuki tahun ini. Tapi kita tidak boleh nafikan juga kekuatan Indonesia yang berjaya mara ke perlawanan akhir dalam edisi yang lalu selain sokongan padu penyokong mereka di Gelora Bung Karno. Satu-satunya perkara yang mungkin boleh mengganggu mereka adalah mereka mungkin akan lebih fokus kepada skuad bawah 23 tahun mereka yang akan beraksi di Sukan Asia di mana mereka menjadi tuan rumah.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Adakah kita memang langsung tidak mampu memberi saingan?

Setakat ini, satu-satunya sinar harapan kita adalah barisan pemain muda yang beraksi di kejohanan Piala AFC bawah 23 tahun yang lalu. Namun, berapa ramai dari mereka beraksi secara konsisten untuk kelab mereka, terutamanya di Liga Super? Piala AFF walaupun tidaklah sebesar Piala Asia, tetapi tetap mampu memberi tekanan kepada pemain muda terutamanya jika mereka tidak beraksi di peringkat tertinggi secara konsisten.

Jika kita mahu memandang serius kejohanan ini, pemain-pemain muda ini perlu beraksi dengan kerap untuk pasukan masing-masing dan bukan sekadar memanaskan bangku simpanan atau beraksi di Liga Premier. Gabungkan mereka dengan pemain senior yang betul-betul layak dan bukan sekadar dipilih di atas kapasiti pemain senior sedangkan persembahan mereka di liga mengecewakan.

Sudah sampai masanya kita melihat Piala AFF Suzuki ini sebagai medan memberi pendedahan kepada pemain muda dan satu platform untuk menguji kekuatan kita sebelum ke peringkat Asia. Bukanlah bermaksud kita tidak memandang serius, tetapi kalau pemain muda yang ada ini lebih bagus berbanding pemain senior yang ada, gunakan sahaja mereka berbanding bergantung kepada pemain senior yang ada sebilangan dari mereka sudah banyak kali diberi peluang tetapi terus mengecewakan. Lupakan kenangan 2010 itu dan cipta sejarah baru!

Petang ini undian untuk Piala AFF Suzuki akan berlangsung. Kita akan mengetahui siapakah pihak lawan kita. Mungkin selepas itu kita sudah boleh menilai sendiri peluang kita dalam kejohanan bolasepak terbesar Asia Tenggara ini.