Malaysia Liga Super Malaysia

Gara-gara mahu lepaskan Khairul Fahmi dan Piya, bekas pemain Kelantan bidas tindakan Kafa

Apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhasrat untuk melepaskan Badhri Radzi atau Piya dan Khairul Fahmi Che Mat, keputusan itu pada mulanya disambut baik bagi meringankan beban kewangan pasukan, namun terdapat segelintir penyokong malah bekas pemain yang tidak berpuas hati dengan keputusan melepaskan dua pemain yang dianggap legenda dalam kalangan penyokong Kelantan.

Ini terutamanya apabila presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan (PBPBSK), Salim Mahmood sendiri tidak bersetuju dengan KAFA kerana menganggap kedua-dua pemain itu merupakan nama besar dalam arena bola sepak tempatan dan telah memberikan sumbangan yang tidak terhingga buat The Red Warriors selama ini.

“Apabila KAFA mahu melepaskan Piya dan Apek bertujuan untuk menjimatkan kos, saya beranggapan ia wajar.

“Tetapi bukan sekarang, mustahil bagi KAFA untuk bertindak tanpa perancangan. Jika disebut perancangan untuk jangka masa tertentu, sudah semestinya ada ketelitian dalam hal ini, namun saya lihat perkara tersebut tidak ada,” katanya kepada Kosmo!

Tambahnya, sebagai bekas pemain, beliau begitu memahami perasaan yang sedang dihadapi oleh kedua-dua tonggak Kelantan itu ketika ini.

“Setiap pemain bola sepak tahu bila masanya untuk berundur apabila khidmat mereka sudah tidak diperlukan lagi.

“Namun, KAFA sepatutnya memberikan penghargaan kepada Piya dan Apek dengan menyediakan pelan jangka panjang seperti menghantar mereka mengikuti kursus kejurulatihan.

“Bukan itu sahaja, KAFA boleh melantik mereka sebagai duta atau ikon bola sepak negeri Kelantan ataupun mewujudkan kembali akademi bola sepak supaya mereka dapat mencurahkan segala ilmu kepada generasi baharu dan menjadi motivasi untuk pemain muda,” katanya.