Biarpun pasukannya tewas kepada pasukan bukan pilihan PKNS FC, namun jurulatih Perak, Mehmet Durakovic tidak terlalu kecewa dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya.
Sebaliknya, beliau menganggap pasukannya tidak bernasib baik selepas disingkirkan PKNS FC 4-3 secara agregat.
Katanya, meskipun sekadar meraih keputusan seri 2-2 dalam perlawanan tersebut, Perak banyak mencipta peluang terutamanya pada 30 minit terakhir perlawanan sehingga berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit sahaja.
“Kami mendominasi perlawanan, banyak peluang untuk menjaringkan gol, terutama melalui sepakan percuma dan sepakan penjuru. Jika peluang-peluang itu digunakan sebaiknya, sudah tentu perlawanan akan berubah.
“Memang sukar untuk menerima keputusan ini tetapi kesungguhan yang ditunjukkan pemain dalam perlawanan ini dalam separuh masa kedua sedikit-sebanyak menggembirakan saya,” katanya kepada Berita Harian.
Dalam perlawanan tersebut, PKNS FC mendahului perlawanan menerusi jaringan Rodney Celvin Akwinsivie pada minit ke-54 dan sepakan penalti K. Gurusamy pada minit ke-64.
Ketika seolah-olah tidak ada sebarang harapan lagi, pasukan The Bos Gaurus mengejutkan pihak lawan apabila Nasir Basharuddin menyumbat gol pada minit ke-72 dan ke-82, namun gagal menambah sebarang jaringan lagi malah kedudukan seri 2-2 tidak cukup buat untuk mara ke separuh akhir.
Mengulas lanjut, Durakovic akan meneruskan fokus dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
“Sasaran kita adalah menang dalam setiap perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia.
“Perak berada pada tahap terbaik ketika ini dan saya berharap kita akan dapat melakukan sesuatu yang akan menggembirakan penyokong The Bos Gaurus,” katanya.