Luar Negara Asia

Arema FC diarahkan menutup tribun timur, penyokong tetap beli tiket

Ekoran insiden rusuhan penonton ketika perlawanan menentang Persib Bandung, Arema FC telah diarahkan oleh Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) untuk menutup tribun timur yang biasanya menjadi tempat penyokong kuat mereka Aremania.

Insiden yang berlaku di Stadium Kanjuruhan itu menyebabkan beberapa penyokong tercedera dan ketua jurulatih Persib Bandung, Mario Gomez mengalami kecederaan di kepala kerana terkena batu.

Kejadian itu menyebabkan Arema FC diarahkan menutup tribun timur untuk dua perlawanan iaitu ketika menentang Persipura Jayapura dan PSM Makassar.

Namun, larangan tersebut langsung tidak mematahkan semangat penyokong kuat Arema FC, Aremania.

Ketua Aremania, Yuli Sumpil menyatakan mereka tetap akan membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut, tetapi tidak akan menonton di dalam stadium.

“Saya memilih untuk tidak masuk ke stadium. Saya akan membeli tiket, tetapi hanya akan menonton di skrin yang disediakan di luar stadium.

“Saya tidak akan melawan larangan tersebut. Kami tetap akan menyokong, tetapi tempat saya sentiasa di tribun timur.

“Kami minta panitia perlawanan sediakan tiket khusus untuk kami yang kami akan beli tapi menonton perlawanan dari luar stadium.”

Selain daripada arahan menutup tribun timur, Arema FC juga dikenakan dengan sebanyak Rp 300 juta kerana gagal mengawal keselamatan.