Malaysia Piala FA Malaysia

Pahang impikan final Piala FA, namun PKNP menjadi halangan di separuh akhir

Kemenangan 3-0 ke atas JDT pada saingan suku akhir kedua Piala FA disambut dengan cukup gembira oleh penyokong Pahang tetapi nampaknya mereka mahukan kejayaan yang lebih besar daripada itu.

Bagi pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, beliau yakin Dollah Salleh mampu melangkah ke final Piala FA sekali lagi, mengulangi pencapaian tersebut pada musim lalu.

Namun apa yang lebih penting, Pahang tidak boleh memandang rendah kemampuan PKNP FC pada pertembungan separuh akhir nanti.

“Semua pemain yang melalui 90 minit perlawanan di Larkin telah mempamerkan corak permainan yang mantap dan bertenaga.

“Kejayaan ini membuktikan mereka mampu melakar kemenangan jika beraksi dengan baik dan pada masa sama mengikut percaturan jurulatih.

“Jadi tiada yang mustahil dan saya percaya kejayaan ini pasti menjadi tonik terbaik bagi menghadapi separuh akhir menentang PKNP sekali gus mengulangi pencapaian mara ke final musim lalu,” katanya kepada Berita Harian.

Pada aksi suku akhir kedua, Patrick Cruz bukan sahaja menjadi wira Tok Gajah apabila menjaringkan hatrik menentang JDT yang melayakkan Pahang ke separuh akhir, malah turut memusnahkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan di laman sendiri sejak 2014.

PKNP pula mara ke separuh akhir selepas menewaskan pendahulu Liga Perdana, FELDA United FC 2-1 menjadikan agregat seri 2-2, sekali gus layak berdasarkan jaringan di tempat lawan.