Malaysia Liga Super Malaysia

Azraai Khor tidak mahu Negeri Sembilan terus keciciran mata

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah tidak mahu pasukannya terus-terusan keciciran mata dalam perlawanan akan datang dan menggesa anak buahnya bangkit mencari kemenangan sekali gus keluar dari zon penyingkiran Liga Super.

Gesaan tersebut ditujukan kepada semua pemain terutamanya kapten pasukan, Kim Do-Heon supaya memainkan peranan yang lebih agresif dalam membantu jentera serangan.

Katanya, selaku pemain yang pernah beraksi dua kali di Piala Dunia dan sekali di Temasya Sukan Olimpik, kualiti Do-Heon amatlah diperlukan bagi mengembalikan maruah pasukan pada musim ini.

“Setakat ini ketumpulan jentera serangan pasukan begitu ketara kerana kita hanya mengharapkan seorang pemain untuk menerajui bahagian serangan.

“Sebab itu Do-Heon dilihat berupaya untuk membantu pasukan mendapatkan gol. Saya mengharapkan aksinya yang lebih agresif dalam menjana bahagian tengah dan seterusnya membantu jentera serangan,” katanya kepada Berita Harian.

Selepas mengharungi enam perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan sekadar meraih satu kemenangan, satu seri dan mencatatkan empat kekalahan menyebabkan pasukan itu terjerumus ke kedudukan paling tercorot dalam liga.

Azraai yang mula mengendalikan Negeri Sembilan pada awal bulan lalu turut mengharapkan perubahan positif daripada skuad Hobin Jang Hobin dalam saingan liga selepas ini.

“Pemain diingatkan supaya tidak hilang fokus pada penghujung saingan yang boleh mengakibatkan pasukan kehilangan mata seperti yang berlaku ketika seri dengan Kelantan sebelum ini.

“Perkara ini sudah dua kali berlaku dan sangat merugikan pasukan jadi diharap ia tidak berulang pada perlawanan menentang Selangor nanti,” katanya.