Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : Aidil kecewa Kedah kutip satu mata

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa apabila sekadar mengutip satu mata biarpun bermain di halaman sendiri.

Biarpun pasukan kendalian beliau menguasai perlawanan tetapi jelas PKNP berjaya menyerap segala asakan yang diberikan oleh Kedah.

Walaupun dapat menguasai permainan, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak nyata kecewa apabila skuadnya gagal mengutip mata penuh selepas sekadar seri 1-1 dengan PKNP FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.

“Saya kecewa kerana kami terlepas dua mata berharga pada malam ini selepas kami melakukan banyak serangan tapi kami tidak dapat menjaringkan gol.”

“Kami mencipta banyak peluang dengan bola hantaran bahaya dan jika penyerang lebih tajam, kami mampu meletakkan bola ke dalam jaring dan saya rasa kami perlu terus berusaha dan bekerja keras.”

“Dari segi keseluruhan perlawanan saya tetap berpuas hati kerana kami telah meningkatkan tahap permainan dengan menguasai permainan, mengawal serta membuat hantaran bola yang baik, cuma kami perlu belajar mendahului satu gol tidak selamat dan tidak mencukupi. Memberi pihak lawan satu peluang, mereka berjaya memanfaatkannya untuk gol penyamaan.”

“Itulah bola sepak, pemain saya telah beri segala-galanya dan mereka bekerja keras namun kami perlu terus belajar bola sepak adalah berkaitan 90 minit permainan dan satu jaringan tidak mencukupi.” Katanya.