Luar Negara Berita

Pemain bolasepak akui bunuh anak selepas positif COVID-19

Dalam satu kejadian luar biasa, Cevher Toktas mengakui dia membunuh anaknya sendiri selepas disahkan positif COVID-19.

Pemain pertahanan 32 tahun itu beraksi dengan pasukan Liga Super Turki, Bursa musim ini.

Toktas membuat pengakuan tersebut di hadapan penyiasat selepas 11 hari polis mengesahkan kematian anaknya yang berusia 5 tahun itu adalah disebabkan masalah pernafasan.

Menurut laporan media tempatan, Toktas membawa anaknya ke hospital pada 23 April selepas didapati mengalami batuk dan demam panas.

Doktor kemudian meminta Toktas dan anaknya dikuarantinkan selepas mendapati ia adalah simptom COVID-19.

Namun pada hari yang sama, Toktas memanggil doktor dan memberitahu anaknya mengalami kesukaran untuk bernafas.

Anak Toktas dikejarkan ke unit rawatan rapi, namun disahkan meninggal dunia dua jam kemudian.

Polis tidak mengesyaki sebarang niat pembunuhan kerana masalah pernafasan adalah simptom yang normal bagi pesakit COVID-19.

Namun 11 hari kemudian, Toktas hadir di balai polis di Bursa, dan mengakui bahawa dia telah melakukan satu kesalahan jenayah.

Menerusi keterangan polis, Toktas mendakwa dia menekup muka anaknya dengan bantal.

“Saya menekan bantal terhadap anak saya yang sedang baring di katil. Selama 15 minit, saya tekan bantal itu tanpa henti. Anak saya menderita masa itu. Bila dia sudah tidak bergerak, saya angkat bantal dan terus memanggil doktor supaya saya tidak disyaki.”

Toktas juga memberitahu motif pembunuhan tersebut, yang boleh dianggap sangat mengejutkan.

“Saya tak pernah sayangkan dia sejak dia lahir. Saya tak tahu kenapa. Satu-satunya sebab saya bunuh dia ketika itu adalah sebab saya tak suka dia. Saya tak ada masalah mental.”

Selepas pengakuan tersebut, polis menahan Toktas serta-merta dan akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh saudara rapat dan berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Kubur anak Toktas digali semula bagi tujuan autopsi.