Malaysia Luar Negara

Bintang Spurs, Son Heung-min teruja untuk menerima jersi khas Terengganu FC

Penyerang Tottenham Hotspur dan juga Korea Selatan, Son Heung-min baru-baru ini telah dihadiahkan jersi khas pasukan Liga Super Malaysia, Terengganu FC oleh dua peminat tegar Spurs dari Malaysia, iaitu Irwan Mahamood dan juga Maria.

Kedua-dua individu tersebut dibawa ke London oleh pihak Astro Supersports selepas memenangi peraduan untuk menyampaikan anugerah PFA Fans’ Player of the Month kepada Son di pusat latihan Tottenam Hotspur.

Berdasarkan video yang dikeluarkan oleh Stadium Astro, jersi Terengganu itu, yang direka oleh Irwan untuk kempen Liga-M 2018, turut dicetak dengan nama ‘Son’ dan juga nombor ‘7’ di bahagian belakang.

“Ini jersi kelab tempatan yang saya sokong, Terengganu FC dan design ini direka oleh saya sendiri. Kini ada dua pemain Korea Selatan yang bermain untuk Terengganu, jadi mungkin anda boleh menyertai kami satu hari nanti,” kata Irwan kepada bekas bintang Bayer Leverkusen itu.

Son pula jelas teruja dengan hadiah tersebut dan sempat bergurau bahawa dia mungkin akan pertimbangkan Terengganu sebagai destinasi pada penghujung kariernya. “Mungkin satu hari nanti.. terima kasih, terima kasih untuk hadiah ini,” ujar Son.

Musim ini, Son sudah membuat 46 penampilan untuk Spurs, dan berjaya menjaringkan 18 gol selain mencatat 9 assist. Dia juga dijangka akan memainkan peranan yang cukup penting untuk Korea Selatan di pentas Piala Dunia pada bulan Jun akan datang.

Saksikan video Son menerima jersi khas Terengganu FC di bawah!