Pemain pertahanan Selangor, Willian Pacheco menegaskan beliau tidak pernah menangis dan merayu kepada Pengarah Utama Persija Jakarta, Gede Widiade supaya membawanya pulang ke pasukan Indonesia itu.
Malah, pemain yang berasal dari Brazil itu tidak pernah menyesal sama sekali dengan keputusannya menyertai pasukan Gergasi Merah sebaliknya mempunyai azam tersendiri untuk mencipta nama di Selangor dan ingin menjadi sehebat Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.
“Pada akhir kontrak saya bersama Persija, saya telah menerima beberapa tawaran daripada kelab-kelab tetapi saya memilih Selangor kerana saya percaya dengan projek pasukan ini.
“Malangnya, masih ada orang yang cuba memanipulasi media dengan kenyataan palsu, saya tidak pernah menangis dan tidak pernah meminta untuk kembali pulang ke Persija.
“Saya mahu bermain dengan pasukan hebat seperti Selangor jadi laporan itu tidak benar dan saya sendiri cukup gembira bersama Selangor,” katanya kepada Kosmo!
Terdahulu, Pengarah Utama Persija, Gede Widiade mendedahkan Willian Pacheco datang merayu kepadanya supaya membawanya pulang bermain semula dengan pasukan lamanya.
Katanya, Pacheco berkunjung ke hotel penginapan pemain Persija setiap hari ketika pasukan Indonesia itu bermain dalam kejohanan yang berlangsung di Malaysia, awal tahun ini.
“Pacheco itu menangis di depan saya dan dia ingin balik ke Persija. Saya tidak tahu, mungkin dia menyesal meninggalkan Persija,” katanya.
Namun, Gede langsung tidak berminat untuk membawanya kembali ke Persija kerana menganggap pemain tersebut sebagai tidak profesional berhubung perpindahannya ke Selangor.