Berita Santai

11 April 2001: Ketika Australia berpesta 31 gol tanpa balas ke atas Amerika Samoa

Sebelum bergabung ke Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Australia suatu kuasa bolasepak yang cukup dominan di Wilayah Oceania. Satu-satunya lawan yang mampu menyaingi Australia hanyalah New Zealand. Itu pun Australia masih memegang rekod lebih banyak kemenangan ke atas pesaing mereka di Kepulauan Pacific itu. Australia memang terlampau kuat di Oceania, paling terbukti apabila mereka menang ke atas Amerika Samoa pada tahun 2001 dengan keputusan 31-0.

Tanggal 11 April 2001, Australia beraksi menentang Amerika Samoa dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2002 bagi Wilayah Oceania. Dalam pusingan kelayakan yang sama, Australia membelasah Tonga dengan keputusan 22-0. Ramai yang sudah tahu bahawa Australia di bawah kendalian Frank Farina akan mencatat kemenangan besar, tetapi tiada siapa menyangka Tony Popovic dan rakan sepasukannya akan menjaringkan 31 gol ke atas Amerika Samoa.

Sebabnya sangat jelas, berdepan Amerika Samoa di Stadium Antarabangsa Coff Harbour, New South Wales ketika itu, Frank Farina menurunkan pasukan keduanya. Pemain-pemain seperti Mark Viduka, Mark Schwarzer, Harry Kewell dan John Aloisi yang menjaringkan 10 gol ketika berdepan Tonga tidak beraksi. Di barisan serangan ketika itu, Farina memanggil dua penyerang remaja, David Zrilic dan Archie Thompson.

Archie Thompson yang berusia 22 tahun ketika itu beraksi untuk kelab Belgium, Lierse telah menjaringkan 13 gol dalam perlawan tersebut. Gol-gol lain dijaringkan oleh David Zdrilic (8 gol), Con Botsianis (3 gol), Tony Popovic, Aurelio Vidmar dan bekas pemain Pahang, Simon Colosimo (masing-masing dua gol) dan pemain simpanan Fausto D’Amicis menjaringkan satu gol.

Setelah dikaji, antara sebab Amerika Samoa bolos begitu banyak adalah kerana mereka tidak dapat menurunkan barisan pemain terbaik mereka. Pemain-pemain senior Amerika Samoa ketika itu tidak dapat hadir ke Australia kerana masalah passport. Satu-satunya pemain senior yang beraksi adalah penjaga gol, Nicky Salapu.

Selain itu, Amerika Samoa juga tidak dapat menurunkan skuad bawah 20 tahun mereka kerana ramai di antara mereka sedang menjalani peperiksaan. Ketua jurulatih Amerika Samoa, Tunoa Lui terpaksa menurunkan pemain-pemain berusia 15-18 tahun yang sememangnya kurang pengalaman beraksi dalam perlawanan sebesar ini. Dengan pemain yang terlalu muda dan kurang pengalaman, tidak terkejutlah mereka tewas dengan jumlah jaringan yang sangat besar.

Rekod kemenangan 31-0 Australia ke atas Amerika Samoa masih kekal sebagai rekod kemenangan terbesar dalam aksi kelayakan Piala Dunia setakat ini. Ada juga kontroversi lain berkenaan perlawanan ini yang masih menjadi perdebatan iaitu ada sesetengah pihak yang menyatakan bahawa Archie Thompson sebenarnya menjaringkan 14 gol.