Malaysia Liga Super Malaysia

PFAM mahu pasukan Liga-M guna ‘kontrak baharu’ demi menjaga kebajikan pemain

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) menggesa semua pasukan dalam Liga Malaysia supaya menggunakan standard kontrak pemain yang baharu lebih-lebih lagi ketika jendela perpindahan kedua pada bulan hadapan kerana dilihat lebih adil, seimbang dan menjaga kepentingan pemain bola sepak di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, desakan itu dibuat berdasarkan laporan sehingga April 2018 yang menunjukkan beberapa pemain dan pasukan masih lagi menggunakan standard kontrak lama.

Katanya, ini akan menyebabkan konflik yang tidak diingini seperti butiran-butiran dalam kontrak lama yang sepatutnya terhapus masih lagi berkuatkuasa.

“Satu memorandum persefahaman telah ditandatangani oleh PFAM dan FAM tahun lalu bagi mewujudkan kontrak standard pemain yang baharu dan pengurusan kes pemain yang lebih baik menerusi penubuhan National Dispute Resolution Chamber (NDRC).

“Antara perkara yang telah dipersetujui ialah mengeluarkan klausa yang membenarkan kontrak pemain ditamatkan atas alasan kecederaan dan prestasi yang juga seiring dengan jurisprudens dan terma-terma dalam Peraturan Status dan Perpindahan Pemain yang dikeluarkan oleh FIFA di peringkat global,” katanya dalam kenyataan rasminya di pfam.my.

Tambah Izham, hasil daripada memorandum persefahaman tersebut, FAM telah mengeluarkan pekeliling pada 26 Disember 2017 dan mengarahkan supaya semua pasukan yang bertanding menggunakan kontrak yang baharu bagi musim akan datang.

“Sekiranya pasukan ingin melanjutkan atau menandatangani kontrak baharu dengan pemain, maka kontrak baharu ini wajib digunakan dan berkuatkuasa serta merta. Sekiranya terdapat pertelingkahan antara pemain dan pasukan sebelum penubuhan National Dispute Resolution Chamber, Jawatankuasa Status Pemain FAM akan mendengar kes-kes tersebut dan selepas penubuhan NDRC, pertelingkahan antara pemain dan pasukan akan didengari oleh NDRC mengikut klausa dalam kontrak baharu bersama pemain.

“Justeru, untuk melicinkan proses transisi penggunaan kontrak lama kepada kontrak baharu, kami di PFAM menggesa pemain dan pasukan agar menggunakan kontrak baharu menjelang pembukaan jendela perpindahan pemain untuk memastikan kebajikan pemain melalui kontrak dapat dijaga,” katanya.