Luar Negara Eropah

Penampilan pertama England bawa tuah 125 ribu pounds buat datuk Lewis Cook

Wang boleh dimiliki dengan pelbagai cara termasuk berjudi. Itu yang terjadi terhadap datuk kepada pemain muda England yang mewakili Bournemouth, Lewis Cook. Segalanya bermula empat tahun lalu apabila datuk Cook, Trevor Burlingham, bertaruh sebanyak 500 paun bahawa cucunya akan beraksi bersama skuad kebangsaan England sebelum memasuki usia 26 tahun. Burlingham mempertaruh wang sebanyak itu di William Hill, sebuah pusat perjudian sukan yang terletak di daerah Tadcaster, Yorkshire Utara.

Ketika Burlingham bertaruh, Cook berusia 18 tahun dan baru sahaja menyertai skuad utama Leeds United pada tahun 2014. Selepas dua musim, dia berhijrah ke Bournemouth pada 2016. Penampilan hebatnya telah membolehkan dia membantu skuad England B-20 untuk memenangi Piala Dunia B-20 pada tahun lalu dan memberikannya tempat dalam pasukan senior pada November. Bagaimanapun, dia belum sempat merasai debut itu di bawah kendalian Gareth Southgate.

Penantian Burlingham selama empat tahun akhirnya membuahkan hasil. Ketika aksi persahabatan menentang Itali pada Selasa, Cook dimasukkan pada minit ke-71 untuk menggantikan Jesse Lingard. Walaupun tidak bermain selama 90 minit, kehadirannya tetap dianggap debut kompetitif buat Three Lions.

Situasi itu membolehkan Burlingham memenangi pertaruhan itu dengan nisbah kemenangan 33 berbanding satu, sekaligus menerima wang sebanyak 17 ribu paun.

Selain Burlingham, sebenarnya sudah ramai yang memenangi pertaruhan unik seperti ini. Datuk kepada Harry Wilson layak menerima wang sebanyak 125 ribu paun selepas cucunya itu meriah penampilan pertama bersama Wales.

Begitu juga dengan bapa kepada Chris Kirkland yang memenangi pertaruhan berjumlah 10 ribu paun selepas anaknya beraksi bersama England sebelum usia 30 tahun. Pemain lain yang turut terlibat dengan perkara itu adalah Ryan Tunnicliffe selepas bapanya memenangi pertaruhan sebanyak 10 ribu paun apabila dia beraksi buat Manchester United.