Kajian & Analisis Luar Negara

Memperingati formula Stephen Hawking untuk membantu England muncul juara dunia

Dunia hari ini dikejutkan dengan berita kematian saintis terkemuka, Stephen William Hawking atau lebih dikenali dengan nama Stephen Hawking.

Saintis terkemuka Britain ini terkenal dengan kajiannya mengenai lubang hitam (black hole) serta telah menulis begitu banyak buku sains yang popular.

Majoriti manusia di muka bumi ini pasti mengenali figura pintar ini yang pada usia 22 tahun telah diberikan masa untuk hidup beberapa tahun sahaja selepas didiagnos dengan satu penyakit neurone. Stephen berjaya melawan takdirnya dan hidup sehingga pada hari ini meninggal dunia pada umur 76 tahun di rumahnya yang terletak di Cambridge.

Tapi sebentar, apa kaitan Stephen Hawking dengan bolasepak?

Mungkin ada yang tidak tahu atau mungkin terlupa, Stephen Hawking dahulu pernah memberi formula mengenai bagaimana England boleh berjaya dalam Piala Dunia di Brazil pada tahun 2014.

Menurut Hawking, ada beberapa faktor yang boleh memberi kesan kepada persembahan skuad Three Lions yang sebenarnya mungkin boleh juga memberi kesan kepada pasukan lain.

Lima faktor yang disebut oleh Hawking adalah: Persekitaran, Fisiologi, Psikologi, Politik dan Taktik.

Dari segi persekitaran, England dilihat beraksi lebih bagus ketika bermain di stadium yang ketinggiannya kurang dari 500 meter dari paras laut. Ini termasuk dari segi cuaca, di mana lebih separuh kemenangan England dicapai dengan kenaikan suhu lima darjah Celsius. Hawking memberikan contoh perlawanan England menentang Costa Rica di Belo Horizonte ketika Piala Dunia yang lalu sepatutnya merupakan yang paling mudah dan perlawanan menentang Itali di Manaus paling sukar.

Dari segi psikologi, Hawking menjelaskan England mempunyai rekod lebih cemerlang ketika menyarung jersi berwarna merah kerana warna tersebut membuatkan mereka merasa lebih yakin dan garang. Hawking menambah, England sering bermain dengan formasi 4-4-2, tetapi 4-3-3 mempunyai peratus rekod kemenangan lebih tinggi dengan 58% berbanding 48% untuk 4-4-2.

Kita semua tahu rekod buruk England dalam penentuan sepakan penalti sejak ia diperkenalkan pada tahun 1978. Tetapi mungkin tips dari Hawking ini bukanlah asing untuk pemain England kerana menurutnya, menyepak bola ke arah penjuru atas di sebelah kiri dan kanan adalah satu strategi kemenangan. Tetapi Hawking juga memberi panduan bahawa adalah lebih baik jika pemain mengambil lebih dari tiga langkah sebelum menyepak bola itu.

Akan tetapi, ada satu perkara yang masih tidak dapat dirungkai oleh Stephen Hawking. Menurutnya pemain yang berkepala botak atau yang memiliki rambut berwarna cerah mempunyai kemungkinan untuk menjaringkan gol yang tinggi. Menurut Hawking perkara ini masih tidak dapat dijelaskan dan masih merupakan satu misteri besar dalam bidang Sains.

SeSebagai rumusan kepada semua teori Hawking, England perlu bermain menggunakan jersi berwarna merah, dengan formasi 4-3-3, bermain di waktu tengahari dan mengelak daripada diadili pengadil daripada Amerika Selatan.

Teori ini diberikan Hawking mungkin sekadar suka-suka. Tetapi mungkin juga England patut mengkaji teori ini. Siapa tahu, tahun ini mereka mungkin boleh menjulang Piala Dunia jika mereka mengikut teori ini. Jika semua ini diikut dan terbukti England mampu menjuarai Piala Dunia, ini pastinya satu lagi kejayaan besar buat Stephen Hawking selepas menjelaskan mengenai teori lubang hitam kerana England memang selama ini berada dalam lubang hitam sejak menang Piala Dunia 1966. Cuba teka England memakai jersi warna apa ketika perlawanan akhir Piala Dunia 1966? Yup, merah.