Malaysia Liga Super Malaysia

Tunku Ismail kekal Presiden FAM – Dato’ Hamidin

Semalam Malaysia dikejutkan dengan berita perletakan jawatan Presiden FAM, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selepas skuad Harimau Malaya jatuh tiga anak tangga dalam kedudukan terbaru yang dikeluarkan FIFA.

Tunku Ismail atau lebih terkenal dengan panggilan TMJ menyatakan dia kecewa dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

Namun, menurut Setiausaha Agung FAM,Dato’ Hamidin Mohd Amin, kenyataan tersebut bukanlah tanda perletakan jawatan Tunku Ismail, tetapi lebih kepada luahan kekecewaan terhadap kritikan netizen kepadanya sejak beliau memegang tampuk kepimpinan FAM.

Dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi FAM itu, Dato’ Hamidin turut menyatakan bahawa wakil dari FIFA dan juga AFC telah menghubunginya dan mahu TMJ terus kekal menerajui FAM.

Menurutnya lagi, peminat bolasepak Malaysia tidak perlu khuatir dengan kedudukan skuad kebangsaan terbaru kerana ianya boleh diperbaiki menerusi perlawanan menentang Mongolia dan Lebanon pada bulan ini. Tan Cheng Hoe akan memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih kebangsaan dalam perlawanan menentang Mongolia pada minggu depan.

Tunku Ismail wajar diberi peluang untuk menerajui FAM sehingga tamat penggal yang ditetapkan. Setakat ini, ada beberapa pembaharuan yang dilihat memberikan kesan positif terutamanya kepada skuad remaja kebangsaan. Selain itu, TMJ juga berjaya menarik penaja untuk menaja Liga Super Malaysia dan membantu menyiarkan hampir semua perlawanan Liga Super yang ada.