Pertahanan Arsenal, Per Mertesacker, mendedahkan mengenai kisah beban yang ditanggung setiap kali menjelang hari perlawanan.
Pemenang Piala Dunia 2014 itu kini bakal memulakan langkah untuk memasuki dunia pengurusan apabila memulakan kempen 2018/19 sebagai pengurus akademi Arsenal.
Bagaimanapun, dia tetap menjadi sebahagian daripada skuad utama kendalian Arsene Wenger walaupun kali terakhir tampil beraksi adalah ketika pusingan ketiga Piala FA, dimana Gunners dikejutkan dengan kekalahan ditangan Nottingham Forest.
Pemain berusia 33 tahun itu mendedahkan kepada majalah beita Jerman, Der Spiegel, mengenai kisah sebenar di atas padang serta permulaan baru dalam kariernya.
“Ada beberapa waktu anda merasakan bahawa segalanya satu beban, tidak kira fizikal dan mental tetapi anda tetap perlu melunaskannya, walaupun jika anda cedera.
“Pernah sekali sebelum perlawanan bermula, perut saya sakit sehingga terasa seperti mahu muntah. Saya terpaksa mencekik tekak sehingga mengalirkan air mata,” katanya.
Walaupun berdepan kesukaran, Mertesacker yang pernah menjulang tiga Piala FA menjadi tumpuan setiap peminat Gunners.
“Tidak kira sama ada saya perlu muntah setiap kali perlawanan dan memulihkan diri sebanyak 20 kali, saya tetap akan melakukannya berulang kali. Ia berbaloi sebagai satu memori.”
Keputusan Mertesacker untuk bersara adalah disebabkan kecederaan kaki yang telah dialami dalam tempoh yang lama.
“Tubuh saya telah sampai ke pengakhirannya.
“Semua orang mencadangkan agar saya menikmati satu musim lagi tetapi saya rela duduk di bangku simpanan, atau lebih baik di bangku penonton untuk membuatkan saya lega buat pertama kali,” tambah Mertesacker.