Liga Super Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Zaquan pemain terbaik City Boys, apa nasib Ramon Marcote?

Dramatik. Perlawanan yang cukup menarik terutamanya untuk peminat neutral. 7 gol termasuk gol kemenangan di penghujung perlawanan.

Selepas Johor Darul Ta’azim, Kedah pula menjadi mangsa Kuala Lumpur apabila tewas 4-3 dalam perlawanan yang cukup dramatik. Kuala Lumpur menunjukkan keinginan mereka untuk kekal di Liga Super dengan mencatatkan kemenangan kedua mereka dalam aksi Liga Super

Ternyata siapa yang sanggup melupakan perlawanan Manchester United vs Liverpool dijamu dengan perlawanan yang menarik di Stadium Cheras.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan di perlawanan tersebut:

ZAQUAN TAMBAH SENGAT SERANGAN KUALA LUMPUR

Kalau boleh dipilih seorang pemain untuk menjadi pemain terbaik perlawanan, Zaquan Adha lah orangnya. Bermain sebagai penyerang di samping Guilherme De Paula, Zaquan menggunakan kepantasannya untuk mengucar-ngacirkan pertahanan Kedah. Zaquan menjaringkan gol pendahuluan buat Kuala Lumpur seawal minit ke-3 dan kemudian berjaya memenangi penalti untuk membantu KL mengikat kedudukan 2-2. Zaquan sememangnya lebih sesuai bermain sebagai penyerang berbanding pemain sayap.

SAYAP HELANG UTARA SUKAR DIKEKANG

Kelincahan Andik Vermansyah dan Farhan Roslan digunakan sebaik mungkin oleh Kedah. Kedua-duanya berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan KL yang meletakkan tiga pertahanan tengah, Bobirjon Akbarov, Achmad Jufriyanto dan Mohd Hisyamudin. Dengan Firdaus dan Syazwan Andik sering membantu serangan, kepantasan kedua-dua pemain ini dan juga Akhyar yang masuk sebagai pemain gantian sukar dikawal pertahanan KL.

PERTAHANAN GOYAH

Gol yang banyak bererti bahagian serangan memang bagus. Tetapi dari segi pertahanan, ia menunjukkan kelemahan. Kedua-dua pasukan membuat kesilapan di bahagian pertahanan. Kedah paling rugi apabila pertahanan mereka alpa di penghujung perlawanan yang menyebabkan Ashri Chuchu berjaya menjaringkan gol kemenangan buat City Boys selepas Ifwat menepis lemah bola rembatan De Paula.

JANGAN SALAHKAN PABLO PALLARES

Walaupun Kedah tewas malam ini, Pablo Pallares tidak boleh disalahkan oleh penyokong Helang Merah. Penyerang Sepanyol itu bermain dengan cemerang di bahagian serangan, dan berjaya menjaringkan dua gol, selain membuat beberapa percubaan menarik sepanjang 90 minit. Hakikatnya adalah Kedah sudah membolos tujuh gol dalam dua perlawanan Liga Super, termasuk kemenangan 4-3 mereka ke atas PKNS dua minggu lepas dan Pablo Pallares tidak bertanggungjawab untuk rekod tersebut.

APA NASIB RAMON MARCOTE?

Kedudukan kedua-dua jurulatih ternyata menjadi persoalan menjelang perlawanan ini. Nasib Fabio Magrao dan Ramon Marcote kedua-duanya dikatakan kini berada di hujung tanduk. Dengan kemenangan ini, mungkin kedudukan Fabio terselamat, tetapi bagaimana pula dengan Ramon Marcote? Adakah masanya bersama Kedah sudah sampai ke penghujungnya?