Liga Super Malaysia

Pertembungan rakan senegara hiasi aksi Kuala Lumpur vs Kedah

Perlawanan Kuala Lumpur menentang Kedah pada Sabtu ini kalau dilihat dari kedudukan pasukan, mungkin tidak terlalu mendapat perhatian berbanding Terengganu menentang JDT.

Tapi kalau dilihat dari segi barisan pemain dari kedua-dua pasukan, ianya mungkin boleh jadi pertembungan yang menarik. Kedah dibarisi pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Akhyar Rashid, Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi yang mampu menghancurkan benteng pertahanan City Boys. Kuala Lumpur pula mempunyai Indra Putra Mahayuddin, Zaquan Adha, Guilherme de Paula dan bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof di bahagian pertahanan.

Namun, yang ada satu lagi pertembungan yang menarik sebenarnya dalam perlawanan ini. Dua rakan senegara yang akan bermusuhan untuk 90 minit. Bonek vs Viking. Bekas pemain Persebaya vs bekas pemain Persib Bandung. Andik Vermansyah menentang Achmad Jufriyanto.

Dari segi umur, Andik lebih muda berbanding Jufriyanto. Andik berusia 26 tahun sementara Jupe berusia 31 tahun. Akan tetapi, Andik lebih berpengalaman di Liga Malaysia selepas berpindah ke Selangor pada tahun 2013 ketika Jupe masih beraksi di Indonesia. Bersama Selangor, Andik pernah menjulang trofi Piala Malaysia pada tahun 2015 selepas menewaskan pasukannya sekarang di pentas akhir.

Pemain kelahiran Jember di Indonesia ini juga pernah menjalani pemilihan bersama kelab Amerika Syarikat, D.C United serta beraksi bersama pasukan simpanan kelab tersebut, tetapi tidak ditawarkan kontrak.

Ketika bersama Persebaya Surabaya, Andik tidak pernah merasai menjulang kejuaraan dan cuma pernah menjadi naib juara pada tahun 2011/2012 di Liga Premier Indonesia.

Achmad Jufriyanto atau lebih mesra dengan julukan Jupe memulakan kerjayanya bersama Persita Tangerang pada tahun 2005. Berbeza dengan Andik, Jupe pernah merasa menjulang kejuaraan Liga 1 Indonesia, Liga Premier Indonesia, Piala Presiden dan Inter Island Cup ketika bersama Sriwijaya FC dan Persib Bandung.

Jupe merupakan antara figura penting dalam kejuaraan liga dan Piala Presiden Persib Bandung apabila dia dilantik sebagai ketua pasukan. Pemain yang boleh bermain di bahagian pertahanan dan tengah ini menyebabkan seluruh penyokong Persib berduka apabila membuat keputusan mahu berpindah ke Kuala Lumpur.

Rekod Jupe bersama Kuala Lumpur setakat ini tidak terlalu menyerlah. Terlepas perlawanan pertama bertemu Selangor dan rakan senegaranya Evan Dimas serta Ilham Udin, dia beraksi dalam kekalahan Kuala Lumpur kepada Negeri Sembilan dan PKNP. Akan tetapi, dia menunjukkan persembahan mantap dalam perlawanan menentang JDT di mana dia berjaya merencatkan bahagian tengah JDT yang dibarisi pemain seperti Safiq Rahim dan Natxo Insa.

Andik dan Jupe kedua-duanya beraksi untuk Indonesia. Namun, mereka tidak pernah beraksi dalam Piala AFF Suzuki bersama-sama. Jupe beraksi untuk Indonesia dalam edisi 2014 sementara Andik pula edisi 2016. Kedua-duanya berada dalam skuad Indonesia dalam perlawanan persahabatan menentang Belanda tetapi ketika itu Jufriyanto bermain dalam kesebelasan utama dan Andik di bangku simpanan.

Sabtu ini selama lebih 90 minit, tiada istilah rakan senegara. Kedua-dua pemain mempunyai sebab tersendiri untuk membantu kemenangan pasukan. Kedah di tangga keenam liga mahu terus mengejar kelompok atas, sementara Kuala Lumpur mahu melompat keluar dari kedudukan tercorot. Andik di bahagian sayap pastinya akan bertemu Jufriyanto di bahagian pertahanan. Siapa yang akan muncul pemenang? Itu perlu tunggu sehingga malam ini.