Luar Negara Eropah

Doktor Tribe: Rashford tunjuk bisa, corak taktikal Klopp tidak begitu menjadi

Kemenangan Manchester United ke atas Liverpool menjadi topik perbincangan yang cukup hangat sepanjang malam semalam, kerana keputusan tersebut tidak dijangkakan oleh barisan penyokong kedua-dua pasukan.

Sebelum perlawanan ini, pasukan Liverpool menunjukkan prestasi yang positif, dan gandingan Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mo Salah boleh dikatakan antara trio terbaik di Eropah. Manakala United pula masih bergelut dengan prestasi semasa – malah mereka hampir tewas kepada Crystal Palace pada hari Isnin lepas, sebelum melalukan ‘comeback’ pada babak kedua.

Dengan ini, kami ingin memperkenalkan konten terbaru di platform Football Tribe Malaysia, iaitu Doctor Tribe. Artikel ini akan menampilkan nama-nama pemain yang mencuri perhatian ramai, pemain yang paling mengecewakan, selain turut memberi sedikit analisis berkenaan corak taktikal yang digunakan oleh kedua-dua pengurus.

PEMAIN TERBAIK (MVP)

Manchester United: Marcus Rashford
Rashford menunjukkan tahap kematangan yang cukup tinggi semalam dan berjaya meledak dua gol untuk membantu United meraih kemenangan ke atas Liverpool. Apabila Rashford tampil dengan aksi sebegini, susah untuk kita percaya bahawa dia hanya berumur 20 tahun.

Liverpool: Tidak Ada

PEKERJA KERAS

Manchester United: Eric Bailly
Walaupun menjaringkan gol sendiri di Old Trafford malam semalam, Eric Bailly tetap perlu diberi pujian atas kerajinan yang dia tunjukkan di atas padang. Pemain pertahanan Ivory Coast itu bermain dengan agresif dan tidak memberi sebarang ruang kepada barisan penyerang Liverpool, yang selalunya mengganas dan menjaringkan gol dengan mudah

Liverpool: Tidak Ada

PEMAIN PALING MENGECEWAKAN

Manchester United: Alexis Sanchez
Biarpun sudah lebih sebulan sejak dia menyertai Manchester United, kita masih belum mengetahui posisi terbaik Sanchez dalam sistem yang sering digunakan oleh Jose Mourinho. Malam semalam, Sanchez sekali lagi tampil dengan persembahan yang kurang efektif, dan gagal memberi sebarang impak di atas padang.

Liverpool: Trent Alexander-Arnold
Pemain muda Liverpool ini gagal memberi bantuan kepada Mohammed Salah di bahagian sayap kanan, dan dia juga mudah diperdayakan oleh Marcus Rashford untuk dua gol yang dijaringkan oleh United.

ANALISIS STRATEGI PENGURUS

Manchester United: Jose Mourinho
Seperti biasa, Jose Mourinho menggunakan corak taktikal yang lebih cenderung ke arah konservatif, namun malam semalam, strategi 'counter-attack' cukup berkesan. Sebelum ini, gaya permainan United sering dilabel sebagai membosankan apabila mereka bermain dengan defensif, tetapi malam semalam, skuad Mourinho nampak bahaya setiap kali mereka melancarkan serangan balas.

Liverpool: Jurgen Klopp
Dari segi taktikal, Liverpool bermain dengan cukup bagus di bahagian tengah, dan juga di bahagian serangan. Malangnya, persembahan yang kurang memuaskan daripada Mo Salah, dan juga beberapa kesilapan di bahagian pertahanan, akhirnya membantu United meraih kemenangan berharga. Satu kesilapan yang mungkin dilakukan oleh Klopp adalah keputusannya untuk meletakkan Wijnaldum di bangku simpanan. Pemain Belanda itu membawa menjadikan bahagian tengah Liverpool lebih seimbang, apabila diperkenalkan pada babak kedua.

PENGADIL PERLAWANAN

Craig Pawson
Cukup bagus dalam membuat keputusan, biarpun perlawanan malam semalam boleh dikategorikan sebagai perlawanan yang paling hangat di kalender Liga Perdana Inggeris. Craig tidak membuat sebarang kontroversial. Adil.