Luar Negara

N’golo Kante pengsan sebelum perlawanan menentang City

Pemain tengah Chelsea, N’golo Kante rupanya tidak beraksi dalam perlawanan menentang Manchester City kerana dia pengsan di bilik persalinan dua hari sebelum perlawanan tersebut.

Menurut laporan The Telegraph, rakan sepasukanny terkejut selepas melihat kejadian tersebut dan menyangka Kante mempunyai masalah jantung. Petugas perubatan telah memeriksa Kante dan dia didapati tidak mempunyai masalah jantung dan boleh mengikut pasukan ke Manchester.

Kante turut dihantar untuk pemeriksaan bersama doktor pakar, dan selepas pemeriksaan, dibenarkan beraksi dalam perlawanan tersebut. Namun, Kante menyatakan dia merasa kurang sihat dan untuk tidak mengambil sebarang risiko, dia tidak diturunkan.

Kejadian ini berlaku beberapa hari sebelum kematian pemain Fiorentina, Davide Astori. Ketua pasukan Fiorentina itu didapati meninggal dunia di bilik hotelnya menjelang perlawanan menentang Udinese.

Terdapat beberapa kejadian berkaitan jantung yang berlaku di Liga Perdana Inggeris sebelum ini. Antara yang terkenal adalah kejadian yang menimpa Fabrice Muamba ketika dia beraksi untuk Bolton menentang Tottenham di White Hart Lane pada tahun 2012.

Bagi N’golo Kante pula, walaupun tidak beraksi menentang City, dia dijangka akan diturunkan dalam perlawanan menentang Burnley minggu ini.