Malaysia Liga Super Malaysia

FMLLP dedahkan nasib enam pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran

FMLLP telah mendedahkan bahawa enam pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran mereka untuk saingan Liga Malaysia 2018 akan dikenakan ‘hukuman tertangguh ataupun ‘suspended point’.

Perkara ini disahkan oleh Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, dalam sebuah sidang media yang diadakan selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FMLLP di Johor Bahru, hari ini.

Hukuman tertangguh bermakna enam pasukan tersebut hanya akan dikenakan potongan mata, jika mereka gagal melengkapkan pendaftaran sebelum tarikh baru, yang akan ditetapkan dalam beberapa hari ini.

Enam pasukan yang kini perlu melengkapkan pendaftaran mereka dengan secepat mungkin adalah Kelantan FA, Kuala Lumpur, Kuantan FA, PDRM, Pulau Pinang dan Sarawak FA.

Isu ini timbul buat kali pertama apabila FMLLP mendedahkan bahawa enam pasukan tersebut gagal melengkapkan dokumen pendaftaran, berdasarkan ‘timeline’ yang dikeluarkan pada hujung tahun lepas.

“Seperti kenyataan yang pernah kami keluarkan sebelum ini, tarikh akhir menghantar dokumen adalah pada 3 Februari 2018. Tarikh itu merupakan tarikh yang telah dilanjutkan sebanyak dua kali untuk membolehkan pasukan terbabit lengkapkan dokumen yang perlu.

“Tarikh akhir yang asal ialah pada 29 Disember 2017 dan ia telah dilanjutkan kepada 14 Januari 2018 sebelum dilanjutkan lagi kepada 3 Februari 2018,” jelas FMLLP melalui kenyataan yang dikeluarkan pada pertengahan bulan Februari.

Bulan Mei lepas, empat pasukan Liga Malaysia, iaitu Kelantan, T-Team, ATM dan Perlis, dikenakan hukuman potongan mata selepas gagal melengkapkan pendaftaran untuk musim 2017.